Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Warisan parti pelbagai bangsa, parti lain hanya ungkapan - Shafie

Mendakwa Warisan sebagai parti nasional pelbagai bangsa, presidennya Shafie Apdal berkata parti-parti yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia hanya pada ungkapan sahaja berbilang kaum sedangkan dari segi amalan adalah sebaliknya.

“Kalau berdasarkan pada nama saja, parti itu pelbagai bangsa tapi sebearnya bukan pelbagai bangsa. Parti apa dikatakan pelbagai bangsa? DAP?, PKR?

“PKR - siapa presiden? Timbalannya siapa? Setiausaha agung siapa dia? Ketua Penerangan siapa dia?

“Begitu juga parti yang lain yang kita katakan pelbagai kaum,” katanya.

Sebaliknya, Shafie mendakwa kepimpinan Warisan mencerminkan kepelbagaian budaya yang tulen.

“Bila kita lahirkan parti Warisan, siapa presidennya? Shafie Apdal, orang Islam. rumpun Melayu.

“Siapa timbalannya? Darrell Leiking, dia beragama Kristian, orang muda. Siapa naib presiden? Junz Wong. Dia Cina. Siapa setiausaha agung? Loretto Padua. Siapa bendahari? Terence Siambun.

“Pelbagai bangsa. bukan satu bangsa,” katanya,

Shafie berkata tidak ada kebimbangan mengenai hakikat bahawa timbalannya itu beragama Kristian dan membadingkan ini dengan kemajuan yang dicapai oleh negara lain.

“Apabila saya mendarat di London pada 1975, saya tidak pernah menjangka bahawa Datuk Bandar London (Sadiq Khan) akan menjadi warga Pakistan, tidak pernah terbayang bahawa menteri kewangan (Rishi Sunak) di UK adalah seorang India.

“Kita nak ukur dengan rupa wajah. Apa ertinya kita memberi jawatan kepada mereka (bangsa sendiri) kalau negara lumpuh, rasuah bertingkat, ketirisan berlaku,” katanya, semasa sessi dialog selepas majlis pelancaran Warisan peringkat nasional, di Kuala Lumpur hari ini.

Shafie disoal mengapa Warisan mahu mengembangkan sayapnya ke semenanjung sedang parti-parti pelbagai bangsa telah lebih lama ditubuhkan.

Bekas naib presiden Umno itu juga ditanya mengapa dia kemudiannya menyertai Umno ketika zaman awalnya dalam politik.

Shafie, yang bermula di Usno, berkata pada masa itu, Sabah dilanda ketidakstabilan dan pergolakan politik yang berterusan.

Susulan pembubaran Usno, Shafie berkata Umno sebagai parti nasional dilihat sebagai pilihan untuk membawa kestabilan.

Beliau menambah, walaupun Umno berasaskan kaum, BN sebagai sebuah gabungan adalah berbilang kaum tetapi selama ini, ia telah tersasar daripada formula yang dicita-citakan oleh pengasasnya.

“Bila kita bincang dalam Umno hal-hal yang berkaitan dengan rakyat, nampaknya fokus selalu kepada orang Melayu,” kata Shafie.

Tambahnya, tidak dinafikan keperluan untuk membantu orang Melayu tetapi berasa hipokrit untuk hanya memberi tumpuan kepada orang Melayu dan kemudiannya makan bersama pemimpin MCA dan MIC.

Justeru, Shafie berkata apabila beliau ditekan supaya keluar daripada Umno pada 2016 kerana lantang mempersoalkan Presiden Umno Najib Razak mengenai skandal 1MDB, dia memutuskan untuk menubuhkan parti berbilang kaum dan bukannya menyertai Bersatu yang berasaskan kaum dan ditubuhkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Sebab itu saya membuat keputusan apabila Mahathir membentuk Bersatu. Dia tawarkan saya jawatan timbalan presiden. Saya kata kepada Tun tidak lagi (parti) berasaskan kaum ini.

"Saya sedang membentuk Warisan berbilang kaum," tegasnya.