Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sampai nama Timah pun jadi mangsa, kata Shafie

Dalam menunjukkan komitmen Warisan untuk menjadi sebuah parti nasional yang inklusif, presidennya Mohd Shafie Apdal mengingatkan tentang agama Islam yang menurutnya bersifat luas.

Shafie berkata ia berbeza dengan isu berkaitan agama yang sering menjadi perbincangan di negara ini sehingga memecahkan masyarakat.

“Islam tidak sempit. Tidak boleh solat berdiri, (boleh) duduk. Tidak boleh (solat) duduk, baring. Flexible.

“Ini tidak, sampai si Timah jadi mangsa. Dan itu bukan isu utama di negara ini. Orang nak kerja, nak makan,” katanya dalam ucaptama di majlis pelancaran Warisan peringkat nasional, di Kuala Lumpur hari ini.

Shafie merujuk kepada isu arak keluaran tempatan jenama Timah yang mengundang bantahan sesetengah pihak beberapa bulan lalu dan dibincangkan ketika sidang Dewan Rakyat.

Antara bantahan yang disuarakan adalah ia didakwa menghina Islam kerana menggunakan nama nama puteri Nabi Muhammad, iaitu Fatimah serta imej lelaki seakan berkopiah pada labelnya.

Bagaimanapun syarikat pengeluarnya menjelaskan nama itu merujuk bijih timah dan lelaki tersebut adalah individu bernama Kapten Speedy, yang memperkenalkan budaya minuman berkenaan pada era pentadbiran British.

Bagi Shafie, agama sepatutnya lebih kepada soal amalan dan hubungan dengan Tuhan.

“Agama kita dengan Allah SWT, tak perlu tunjuk kita beragama, sebab itu janji kita dengan Allah setiap kali solat.

“...Lillahi rabbil alamin. Bukan kerana PAS, Umno atau PKR. Sampai bila kita (nak) sedar (pandangan) agama kita sempit?” soalnya lagi.

Terdahulu, Shafie menyatakan Warisan komited untuk meletakkan negara kembali ke “landasan yang betul” serta peralihan daripada politik berasaskan kaum dan agama kepada asas keterangkuman.

Merujuk isu nama jenama minuman keras itu, Shafie berkata isu “remeh” berkenaan kaum dan agama lebih menjadi perhatian berbanding isu penting seperti Perjanjian Malaysia 1963.

Dia membangkitkan pindaan Perlembagaan yang menaikkan kedudukan Sabah dan Sarawak daripada status negeri, yang menurutnya sepatutnya telah dilaksanakan pada 2019.

“Kalau kita sudah buat ketika itu, kita tak akan tengok ada orang Sarawak yang mahu kemerdekaan (keluar daripada Malaysia). Mereka juga ingin ambil bahagian dalam membina negara ini.

“Tetapi malangnya sampai persoalan remeh kita nak (kaitkan) agama, bangsa. Sampai minuman si Timah pun jadi isu,” katanya lagi.

Katanya lagi, perkara sama berlaku ketika dia masih bersama BN, ketika isu tentang penggunaan kalimah “Allah” di kalangan orang bukan Islam hangat diperkatakan.

“Kita percaya Allah Maha Esa, tetapi di Malaysia (kalimah itu) hanya untuk kita. Sabah dan Sarawak boleh (digunakan) tetapi Semenanjung tak boleh.

“Sebab itu saya kata jika (politik) berasaskan kaum dan agama, ia sangat memecahbelahkan. Ia tak beri manfaat kepada kita,” katanya lagi.