Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Warisan janji letakkan Malaysia di landasan yang betul

Warisan, yang ditubuhkan dan berpangkalan di Sabah, hari ini secara rasmi melebarkan sayapnya di peringkat nasional, dengan komitmen untuk meletakkan negara di landasan yang betul.

Perkara itu dinyatakan presidennya, Shafie Apdal dalam ucapan di majlis pelancaran Warisan peringkat nasional, di Kuala Lumpur hari ini.

Shafie menjanjikan peralihan daripada politik berasaskan kaum dan agama kepada asas keterangkuman.

“Di mana silap kita? Di mana kita sekarang? Ini yang saya sangat bimbang.

“Kita sediakan landasan ini supaya berlaku perubahan struktur dalam politik. Perlu ada peralihan daripada sistem politik berasaskan kaum dan agama kepada kepelbagaian kaum yang lebih inklusif di negara ini.

“Peralihan perlu ada sekarang. Ia tak boleh ditunggu. Bukan, esok, mingguu depan, tahun depan. Kita mulakan hari ini di Kuala Lumpur,” kata Shafie.

Kata Shafie, banyak negara yang berjalan dengan baik tanpa parti berasaskan kaum mahupun agama.

“Sudah lebih 60 tahun merdeka (tapi) masih dibangkitkan persoalan kaum. Orang Melayu tak akan mati kalau tiada Umno.

“Islam negara (persekutuan) Malaysia (dan) tak akan lumpuh kalau tiada PAS. Orang Cina tak akan mati jika tiada DAP,” katanya lagi, yang menyifatkan isu kaum dan agama telah memecah-belahkan Malaysia.

Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking

Dalam menonjolkan visi Warisan untuk menjadi platform yang inklusif, Shafie mengimbas kembali ketika dia belajar di London pada 1970-an, sebagai seorang minoriti beragama Islam.

"Saya makan fish and chips, minum air kosong. Orang lain mungkin makan makanan yang haram (untuk orang Islam).

"Tetapi takkan haram untuk saya duduk di meja yang sama, makan makanan saya?" soalnya, sambil berkata perkara sama perlu berlaku di kalangan orang Islam dan bukan Islam di Malaysia.

Turut hadir acara hari ini adalah Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan wakil dari Gerak Independent iaitu peguam Siti Kasim dan bekas MP Umno Tawfik Ismail.

Semalam Gerak Independent dilaporkan mengumumkan untuk meletakkan enam calon di Parlimen pada PRU akan datang, termasuk Siti dan Tawfik.