Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Had umur perkahwinan: K'jaan nak perjudi masa depan kanak-kanak, soal SIS

Sisters In Islam (SIS) menyelar kerajaan berhubung pendiriannya bahawa tiada keperluan untuk menaikkan had umur perkahwinan minimum bagi perempuan beragama Islam kepada 18 tahun.

SIS merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad yang kerajaan akan mengekalkan had umur minimum perkahwinan bagi gadis Islam pada masa ini, iaitu 16 tahun.

"Adakah kerajaan ingin memperjudi masa depan kanak-kanak dan generasi muda Malaysia dengan tidak menjaga kebajikan mereka dan membenarkan perkahwinan kanak-kanak terus berlaku?

"Kerajaan patut berusaha untuk memastikan kesihatan, pendidikan, keselamatan dan kebajikan semua kanak-kanak adalah terjamin, yang harus berjalan seiring dengan usaha menganjakkan pemikiran rakyat bahawa perkahwinan kanak-kanak adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan membawa kepada kehancuran masa depan kanak-kanak tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

NGO itu membangkitkan beberapa negara di Asia Tenggara, termasuk Indonesia - negara paling ramai penduduk Islam di dunia - telah menaikkan had umur perkahwinan bagi kanak-kanak perempuan.

Indonesia telah menaikkan had umur minimum perkahwinan dari 16 tahun ke 19 bagi perempuan pada 2019.

Menurut SIS lagi, beberapa lagi negara di rantau ini turut mengambil langkah sama, termasuk Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina dan Singapura yang telah menetapkan umur perkahwinan pada 18 tahun.

Thailand pula menetapkan had umur yang lebih tinggi iaitu 20 manakala had umur di Vietnam adalah 18 tahun bagi perempuan dan 20 tahun bagi lelaki.

"Kenyataan Idris menunjukkan dia tidak membaca dan tidak peka bahawa Malaysia telah menandatangani Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Perempuan (Cedaw) pada 1995 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) pada 1994 yang menjamin dan melindungi kebajikan perempuan dan kanak-kanak di Malaysia," kata SIS lagi.

SIS berkata keutamaan untuk kanak-kanak perempuan sepatutnya terhadap pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan, untuk merealisasikan potensi penuh mereka dan memastikan mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih baik.

Pada masa yang sama Malaysia, menurut NGO itu, berada di tangga tercorot untuk negara Asean dalam Indeks Jurang Gender Global 2021.

"Malaysia berada pada kedudukan 112 daripada 156 negara. Pada masa sama, Malaysia berada di tangga yang tercorot untuk negara Asean.

"Myanmar (109), Kemboja (103), Indonesia (99) dan Vietnam (87) berada di kedudukan yang lebih baik daripada Malaysia.

"Jika perkara ini tidak ditangani dengan serius, contohnya tidak menangani masalah perkahwinan kanak-kanak ini dengan lebih baik, maka Malaysia akan jauh tertinggal dalam mencapai kesaksamaan gender, lantas merapatkan Indeks Jurang Gender pada peringkat global," katanya.

SIS berkata bahawa kerajaan perlu komited dan serius dalam memenuhi 17 matlamat yang terkandung dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Salah satu matlamat yang terkandung adalah Matlamat Kelima iaitu mencapai kesaksamaan gender dan memperkasa perempuan dan kanak-kanak perempuan.

Usaha menaikkan umur perkahwinan kepada 18 tahun telah dimulakan di bawah Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur pada Januari 2020 oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, ia menghadapi tentangan daripada beberapa negeri. Perkahwinan orang Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri.

Selangor, bagaimanapun, dengan sokongan Sultan Sharafuddin Idris Shah, telah meminda undang-undangnya untuk menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun.