Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Anwar mahu dapatkan mesej WhatsApp dengan Yusoff Rawther

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim memohon perintah mahkamah untuk mendapatkan mesej perbualan WhatsApp antara dia dan Muhammad Yusoff Rawther.

Presiden PKR itu meminta mesej itu dan beberapa dokumen lain untuk menguatkan pembelaannya dan tuntutan balas terhadap saman Yusoff terhadapnya berhubung dakwaan serangan seksual di rumah ahli politik veteran itu di Bukit Segambut pada 2018.

Sebelum ini dilaporkan bahawa dalam kenyataan pembelaan dan tuntutan balas terhadap saman itu, Anwar berhujah bahawa dakwaan serangan seksual itu adalah "palsu dan direka" dan didakwa bermotif politik untuk mencemarkan imej ahli parlimen Port Dickson itu dan menghalangnya daripada menjadi perdana menteri.

Yusoff mendakwa pernah menjadi pembantu penyelidik Anwar. Namun dakwaan itu dipertikaikan oleh presiden PKR itu yang mengatakan Yusoff hanyalah sukarelawan junior atau pelatih di pejabat PKR di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Selangor.

Menurut salinan permohonan penzahiran yang dilihat Malaysiakini, Anwar meminta Yusoff mengeluarkan "salinan semua perbualan WhatsApp antara plaintif (Yusoff) dan defendan (Anwar) dari 2 Sept 2018 hingga 5 Jun 2019".

Antara dokumen lain yang dikehendaki presiden PKR itu ialah salinan akuan berkanun (SD) Yusoff bertarikh 19 Nov 2019 dan laporan polis bertarikh 7 Dis, tahun yang sama.

SD itu mengandungi dakwaan serangan seksual, manakala laporan polis dibuat Yusuff terhadap setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang dikatakan menyerangnya pada 16 Mei 2019.

Anwar juga mahu mendapatkan salinan laporan perubatan berkenaan kecederaan dan rawatan perubatan Yusoff, berikutan insiden serangan yang dikatakan itu.

Pada 4 Dis 2019, Yusoff mendedahkan SD berkenaan dalam satu sidang akhbar, sehari sebelum kongres tahunan PKR di Melaka.

Dalam sidang media menerusi video di Facebook, Yusoff juga mendakwa bahawa laporan polis yang dibuatnya terhadap Farhash telah diabaikan.

Kebetulan, Yusoff dan Farhash memfailkan saman terhadap satu sama lain berhubung dakwaan serangan itu. 

Bagaimanapun, dilaporkan bahawa mereka cuba memohon proses mediasi untuk menyelesaikan tindakan undang-undang berkenaan.

"Saya dinasihatkan oleh peguamcara saya dan sesungguhnya percaya bahawa dokumen-dokumen yang dipohon untuk dizahirkan terhadap plaintif adalah penting untuk mengesahkan pelbagai peristiwa-peristiwa fakta (factual events) yang diplidkan dalam PT dan jawapan plaintif termasuk dakwaan-dakwaan plaintif yang telah saya nyatakan di Perenggan 7 di atas,” kata Anwar dalam permohonan penzahiran yang difailkan pada 22 Nov tahun ini.

Anwar merujuk kepada dakwaan Yusoff bahawa Farhash melakukan serangan terhadap lelaki itu atas arahan Anwar, memandangkan Yusoff didakwa menolak ajak seksual oleh ahli parlimen Port Dickson itu.

"Saya dinasihatkan oleh peguamcara saya dan sesungguhnya percaya bahawa adalah penting bahawa saya dibenarkan untuk meneliti dan mengambil salinan dokumen-dokumen tersebut kerana ia adalah bukti penting kepada isu-isu teras yang dipertikaikan, yang akan membantu dalam pelupusan saksama guaman ini dan/ atau dalam menjimatkan kos.

"Dalam hal ini, penzahiran dokumen-dokumen tersebut akan mengandungi maklumat yang akan membantu membuktikan dakwaan-dakwaan material dalam kes plaintif dan/atau secara langsung atau tidak langsung membolehkan saya memajukan kes saya," kata Anwar.

[Baca berita asal]