Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Langsung: SPR umum keputusan rasmi GPS menang di Sarawak

PRN SARAWAK telah selesai dan undi sedang dikira. Laporan ini akan memberi kemas kini keputusan secara langsung.

Klik di sini untuk keputusan mengikut DUN. Untuk mengenali parti-parti bertanding, klik di sini.


Keputusan DUN Mulu ditangguhkan

11.40 malam: Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh dalam sidang media memaklumkan keputusan pilihan raya bagi kerusi N.78 Mulu tidak akan diumumkan hari ini (18 Disember).

Ini katanya, kerana mengambil kira faktor keselamatan petugas pilihan raya yang menggunakan helikopter untuk membawa peti undi ke pusat penjumlahan undi berikutan cuaca buruk dan terputus perhubungan jalan darat.

Sehubungan itu, katanya, keputusan pilihan raya bagi DUN itu akan diumumkan sebaik sahaja menerima peti undi berkenaan. Peratusan dan jumlah pengundi keluar mengundi juga akan diumumkan bersama pengumuman tersebut.


Rasmi: GPS menang di Sarawak

11.35 malam: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh mengumumkan keputusan rasmi pilihan raya negeri Sarawak dalam satu sidang media malam ini.

Abdul Ghani mengumumkan kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang berjaya memperolehi 75 kerusi DUN pada PRN berkenaan.

Sementara itu Parti Sarawak Bersatu (PSB) pula memenangi empat kerusi DUN, manakala DAP memperoleh dua kerusi.


Hanya beza 23 undi

11.15 malam: Johny Pang Leong Ming dari GPS menewaskan Tony Chiew dari DAP di DUN Tanjong Batu dengan undi tipis sebanyak 23 undi.

Pang memperolehi 35.4 peratus undi manakala Chiew memperoleh 35.2 peratus undi. Tiga lagi calon hilang wang deposit.


Abang Jo angkat sumpah ketua menteri 

10.40 malam: Abang Johari Abang Openg mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Abdul Taib Mahmud selepas GPS memperolehi kemenangan besar dalam pilihan raya negeri.

Abang Johari tiba di Astana, Sarawak malam ini dengan memakai pakaian istiadat berwarna hitam, meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum menyelesaikan proses penjumlahan undi di beberapa kawasan.

Upacara angkat sumpah itu turut disiarkan secara langsung menerusi RTM.

Abang Johari, 71, adalah ketua menteri keenam Sarawak. Pada 2017, dia memegang jawatan itu apabila menggantikan Adenan Satem.


PSB menang Batu Lintang, gantikan DAP sebagai pembangkang terbesar

10.05 malam: PSB menang di kerusi Batu Lintang, sekali gus memberikan parti itu empat kerusi dalam dewan undangan negeri (DUN) Sarawak.

PSB menjadi parti pembangkang terbesar di Sarawak dalam penampilan sulung mereka pada pilihan raya kali ini, menggantikan DAP, yang hanya memenangi dua kerusi.

Bagi Batu Lintang, penyandangnya See Chow How mempertahankan kerusi itu dengan memenangi 35.89 peratus undi, turun daripada 61.6 peratus yang dimenanginya pada 2016 ketika bersama PKR. Dia dipecat dari PKR pada April tahun lepas.

See menewaskan Sih Hua Tong dari GPS-Supp dengan hanya perbezaan 94 undi. Cherishe Ng dari PKR menduduki tempat ketiga dengan memperolehi 14.79 peratus undi.


Wong Soon Koh: Rakyat Sarawak tak bersedia untuk perubahan

9.45 malam: Pengerusi PSB, Wong Soon Koh diumumkan sebagai pemenang bagi kerusi DUN Bawang Assan, Sibu.

Selepas pengumuman itu, Wong mengadakan sidang akhbar dan mengatakan dia kecewa kerana rakyat Sarawak masih belum bersedia untuk melakukan perubahan politik.

“Rakyat Sarawak tidak bersedia untuk perubahan. Mereka masih suka menjadi 'tawanan' kepada amalan politik BN yang kini sudah tentunya GPS.

"Kita tidak boleh mengubah rakyat melainkan mereka sendiri mahu berubah," kata Wong di Dewan Suarah Sibu.

Wong merumuskan punca PSB kalah teruk dalam pilihan raya kali ini ialah amalan politik wang di kawasan luar bandar di Sarawak.

"Saya rasa awak tahu apa yang saya maksudkan.

“(Undi saya) tidak pernah di bawah 70 peratus di kawasan Dayak, tetapi kali ini saya terkejut saya tewas agak teruk di kawasan Dayak.

“Tetapi di kawasan Iban yang saya kalah, saya mendapat sokongan padu daripada masyarakat Cina.

"Jika tidak saya juga akan kalah di Bawang Assan, yang tak mengejutkan saya kerana di bawah amalan politik GPS, orang Iban dan Dayak tunduk kepadanya," kata Wong.


'Sarawak lebih elok dijaga orang Sarawak'

9.15 malam: Susulan kemenangan besar GPS pada pilihan raya negeri Sarawak, pengerusi gabungan itu, Abang Johari Openg berkata keputusan itu menunjukkan rakyat memilih parti berasaskan negeri.

“Nah, rakyat kata Sarawak lebih elok dijaga oleh orang Sarawak,” katanya ketika menjawab soalan mengenai prestasi buruk DAP dan PKR.

 Abang Johari berkata dia "tidak akan tergesa-gesa" untuk mengangkat sumpah atau melantik anggota kabinet kerajaan negeri yang baru.

“Apabila tiba masanya, saya akan umumkan calon saya (untuk kabinet kerajaan negeri),” katanya.

Abang Johari mengetuai pemimpin tertinggi GPS mengibarkan bendera GPS dan menyanyikan lagu tema gabungan itu.


GPS raikan kemenangan

9 malam: Pemimpin tertinggi GPS berkumpul di Pusat Konvensyen Borneo Sarawak untuk meraikan kemenangan mereka pada pilihan raya negeri.

Diketuai pengerusi gabungan itu, Abang Johari Openg, mereka mengibarkan bendera GPS dan menyanyikan lagu parti.

“Sarawak first!” laung mereka, yang berpakaian warna merah dan putih.



SUPP: Undi Cina beralih dari pembangkang

8:40 malam : Presiden SUPP Dr Sim Kui Hian percaya bahawa undi kaum Cina telah beralih daripada pembangkang selepas partinya merampas kerusi majoriti Cina seperti Pelawan daripada DAP.

Parti itu juga berjaya mengurangkan majoriti DAP di DUN Padungan.

“Di kerusi yang biasanya kita kalah tiga hingga empat ribu undi, kini kita kalah beberapa ratus undi.

“Jadi ini adalah anjakan yang jelas kepada rakyat Sarawak, khususnya masyarakat Cina, terhadap mereka yang tidak melaksanakan (dan) tidak menunaikan janji mereka yang berbohong kepada rakyat dan orang ramai,” katanya kepada media.

Sim secara rasmi mempertahankan kerusi Batu Kawah.


GPS menang majoriti dua pertiga di Sarawak

8.55 malam: GPS berjaya mempertahankan majoriti dua pertiga kerusi dalam Dewan Undangan Negeri di Sarawak.

Ketika berita ini ditulis, gabungan itu memenangi sekurang-kurangnya 55 daripada 82 kerusi DUN dan dijangka memenangi beberapa kerusi lagi.

Pada pilihan raya negeri 2016, GPS yang ketika itu merupakan sebahagian daripada BN memenangi 72 daripada 82 kerusi DUN.


DAP hanya tinggal dua kerusi di Sarawak

8.50 malam: DAP memenangi hanya dua kerusi di dewan undangan negeri Sarawak, berkurang daripada tujuh kerusi yang dimenanginya pada 2016.

Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jien berkata pihaknya menerima keputusan pengundi.

Dia berjanji DAP akan terus melindungi kepentingan rakyat.

"Kita akan (buat) semakan. Kita terima keputusan rakyat. Kita akan buat pelarasan sewajarnya," katanya.

Chong juga berterima kasih kepada pengundi Padungan kerana memilihnya untuk kembali ke dewan undangan negeri.


Tak rasmi: GPS dapat majoriti mudah

8.20 malam: GPS meraih majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Menurut keputusan tidak rasmi, gabungan itu telah menang 42 daripada 82 kerusi DUN.

Ini kali pertama PBB, PRS, PDP dan SUPP menang dalam pilihan raya negeri menerusi gabungan itu, yang ditubuhkan selepas PRU 2018.

Sebelum ini, parti-parti ini adalah komponen dalam BN Sarawak.


GPS mendahului di Pelawan yang disandang DAP

8.15 malam: Calon SUPP-GPS Michael Tiang mendahalui di Pelawan, kerusi DUN yang disandang Timbalan Pengerusi DAP Sarawak David Wong Kee Woan, dengan perbezaan hanya 100 undi.

Setakat ini, Tiang telah meraih 4,413 undi manakala Wong mendapat 4,313 undi.

Calon PSB Low Chong Nguan mendapat 3,757 undi, diikuti dengan calon Parti Bumi Kenyalang, Tiew Yen Houng (3,146) dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak, Janet Loh (302).


Koh pertahankan kerusi sebagai wakil rakyat pembangkang

7.55 petang: Presiden PSB, Wong Soon Koh mempertahankan kerusi Bawang Assan.

Wong menyandang kerusi itu sejak 1991 dan kini memasuki penggal ketujuh.

Pilihan raya ini merupakan kali pertama Wong tidak menggunakan logo BN.

Wong ialah bekas anggota kabinet Sarawak.


Tak rasmi: DAP tewas di Pujut

7.55 petang: DAP tewas di kerusi DUN Pujut, menurut Bernama.

Pada pilihan raya negeri 2016, Ting Tiong Choon dari DAP memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,759 undi.

Bagaimanapun, Ting pada 2017 hilang kelayakan kerana didakwa memiliki kewarganegaraan Australia.

Pada pilihan raya kali ini, kerusi itu dimenangi oleh Adam Yii dari GPS.


Engkilili kerusi kedua dimenangi PSB 

7.45 petang - PSB memperoleh kerusi kedua apabila berjaya merampas Engkilili daripada GPS.

Johnichal Rayong Ngipa dari PSB memenangi 3,246 undi, menewaskan Desmond Sateng Sanjan dari GPS yang memperoleh 2,055 undi.

Calon Bebas, Gemong Batu memperoleh 2,013 undi manakala Stel Datu PBK memperoleh 151 undi.

PSB, sebuah parti pembangkang yang membuat penampilan sulung dalam pilihan raya Sarawak menunjukkan prestasi yang cemerlang.

Kerusi lain yang dimenangi PSB ialah Ba'kelalan menerusi calonnya, Baru Bian, yang sebelum ini bersama PKR.

 


Kesemua pencabar GPS di Bukit Godam hilang wang deposit

7.35 petang: Jefferson Jamit Unyat dari GPS-PBB mempertahankan kemenangan bergaya di kerusi Bukit Goram. 

Keempat-empat pencabarnya hilang wang deposit.

Jefferson memperolehi pecahan 68.45 peratus undi, lebih kurang sama dengan yang diperolehinya pada 2016.


GPS perlukan separuh kerusi lagi untuk dapat majoriti mudah

7.40 petang: GPS telah memenangi sekurang-kurangnya 21 kerusi dan hampir separuh daripada angka yang diperlukan untuk mendapatkan majoriti mudah.

Sebanyak 42 daripada 82 Adun Sarawak diperlukan untuk membentuk majoriti mudah dan 55 Adun diperlukan untuk membentuk majoriti dua pertiga.

Setakat ini, pembangkang hanya memenangi satu kerusi menerusi Ba'kelalan yang dimenangi oleh PSB.

Penyandang Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg dijangka bercakap pada sidang akhbar di Kuching pada pukul 9 malam.


Sim dapat mandat lebih besar di Batu Kawah

7.30 petang: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (Supp) Dr Sim Kui Hian berjaya mempertahankan kerusi DUN Batu Kawah.

Sim menunjukkan prestasi lebih baik berbanding pilihan raya 2016. Pecahan undi yang diperolehinya kali ini ialah 69.77 peratus, meningkat daripada 54.12 peratus pada 2016.

Kelvin Yii dari DAP, yang merupakan Ahli Parlimen Kuching berada di tempat kedua apabila memperoleh 22.19 peratus undi. Dua lagi calon hilang wang deposit.


Baru Bian dari PSB pertahan Ba'kelalan

7.15 petang: Parti Sarawak Bersatu (PSB) mencipta sejarah apabila memenangi kerusi di dewan undangan negeri Sarawak pada pilihan raya yang pertama kali disertai mereka.

Baru Bian dari PSB mempertahankan kerusi Ba'kelalan dengan memenangi 54.66 peratus undi - menyamai prestasinya pada 2016 sebagai calon PKR.

Pesaing terdekatnya ialah Sam Laya dari GPS. Calon PKR, Martin Labo pula hanya memenangi 57 undi dan sekali gus hilang wang deposit.



PAS tewas di Beting Maro sekali lagi

7.00 petang: Calon tunggal PAS dalam pilihan raya negeris Sarawak gagal menyingkirkan GPS di Beting Maro.

PAS menduduki tempat kedua dalam persaingan di Beting Maro pada pilihan raya 2011 dan 2016.

Penyandang kerusi itu, Razaili Gapor berjaya mempertahankan Beting Maro bagi penggal keempat, menurut Bernama.


PSB dakwa menang empat kerusi

7 petang: PSB mendakwa parti itu memenangi sekurang-kurangnya empat kerusi DUN - iaitu Engkilili, Simanggang, Ba'kelalan dan Bawang Assan.

Paparan skrin yang dipasang oleh PSB di pejabatnya di Bawang Assan di Sibu, menunjukkan berdasarkan keputusan tidak rasmi, parti itu menang di empat kerusi berkenaan.

Bawang Assan ialah kerusi yang disandang oleh ketua PSB, Wong Soon Koh selama lebih 30 tahun.

Bagaimanapun, Wong memenangi kerusi itu sebagai calon langsung BN pada 2016.


Abang Jo dapat mandat baru dari pengundi Gedong

6.50pm: Pengerusi GPS Abang Johari Abang Openg memenangi kerusi DUN Gedong yang baru ditandinginya.

Sebelum ini, Abang Johari merupakan Adun Satok selama 40 tahun tetapi membuat keputusan untuk berpindah ke Gedong.

Sementara itu, Abdul Yakub Arbi dari GPS mempertahankan Balingian - kawasan pilihan raya yang telah lama diwakili oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Abdul Taib Mahmud.

 


Belaga kekal milik GPS

6.40 petang: Calon PRS-GPS Liwan Lagang mempertahankan kemenangan di Belaga, walau dengan majoriti yang sedikit merosot.

Menurut SPR, dia meraih 70.52 peratus undi, berbanding 90 peratus ketika PRN 2016.

Di belakangnya adalah calon PSB Henry Usat Bit, yang mendapat 25 peratus undi.

Terdapat dua calon bebas yang hilang deposit di kerusi DUN ini.


PSB beri saingan sengit kepada GPS di Bawang Assan

6.30 petang - PSB membuktikan parti itu merupakan sebuah parti pembangkang yang kuat, apabila memberi cabaran hebat dalam menentang GPS di Bawang Assan.

Wong Soon Koh dari PSB bersaing sengit dengan calon GPS, Robert Lau Hui Yew dari SUPP.

Lau mendahului dengan 2,580 undi tetapi Wong mengekori rapat dengan 2,259 undi. Calon Bebas, Ricky Enteri memperoleh 322 undi, Michelle Ling dari PBK mendapat 239 undi manakala Amy Lau dari DAP di tempat terakhir dengan 232 undi.

Masih ada kira-kira separuh daripada undi belum dikira.

Wong sebelum ini memenangi Bawang Assan sebagai calon langsung BN. Dia dahulunya bersama SUPP tetapi kemudian meninggalkan parti itu.


GPS pertahan Murum dan Sembuyau

6.30 petang: Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan kemenangan calon GPS di Sebuyau, Julaihi Narawi.

Mengikut kiraan tidak rasmi, Julaihi memperoleh 79.3 peratus undi, meningkat daripada 69.88 peratus pada 2016.

Di Murum, Kennedy Chukpai Ugon dari GPS memperoleh kira-kira 64 peratus pecahan undi.

Lawan Kennedy yang paling menonjol ialah Stanley Ajang Batok dari PSB, bekas Ahli Parlimen Belaga. Pecahan undi yang diterima Stanley, mengikut kiraan tidak rasmi ialah 24.6 peratus.


DAP nafi hantar pesanan dakwa menang

6.12 petang: Calon DAP Padungan Chong Chieng Jen mendakwa telefonnya dicuri dan digunakan untuk menghantar pesanan teks berniat jahat.

Pengerusi DAP Sarawak itu menggesa orang ramai tidak mempercayai apa yang dinyatakan pesanan itu.

Menurut gambar yang dimuat naik di laman Facebooknya, pesanan teks berbahasa Cina itu berbunyi:

“Berani buat perubahan! Datang untuk ambil duit minya, RM20 untuk kereta, RM10 untuk motorsikal, jangan lupa undi roket!”

“Pesanan palsu,” menurut hantaran itu.


Douglas Uggah kekal kemenangan di Bukit Saban

6.15 petang: Douglas Uggah Embas dari GPS berjaya mengekalkan kemenangan di Bukit Saban untuk penggal ketiga, berdasarkan kiraan tidak rasmi.

Kiraan tidak rasmi menunjukkan dia telah mendapat 77.47 peratus undi.

Sebelum pembubaran DUN, Douglas adalah timbalan ketua menteri dan menteri kewangan kedua Sarawak. Dia juga timbalan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).


Lepas tarik diri, Ali Biju tetap raih sokongan

6.15 petang: Pemimpin Bersatu, Ali Biju yang bertanding bebas sebelum menarik diri ekoran arahan partinya, tetap mendapat sokongan yang baik di Krian - kerusi yang disandangnya.

Dengan hampir separuh jumlah undi telah dikira, dia meraih 1,228 undi. Namun GPS masih mendahului dengan 2,083 undi, diikuti dengan PSB (1,569 undi). Calon Parti Bumi Kenyalang, Danny Kuan mendapat 102 undi.

Nama Ali tetap dipaparkan sebagai calon di kertas undi namun dia berkempen untuk calon GPS, Friday Belik.

Pada PRN 2016, Ali mempertahankan kemenangannya dengan majoriti 1,640 undi.


GPS berpusat di Pusat Konvensyen Borneo

6 petang: Kuching - GPS berpusat di sebuah dewan di Pusat Konvensyen Borneo, kira-kira 15 minit pemanduan dari pusat bandaraya Kuching.

Namun belum ada pemimpin tertinggi gabungan itu yang kelihatan.

Dewan penuh dengan bendera GPS, pentas dan tiga skrin LED besar, yang akan digunakan untuk menunjukkan keputusan pilihan raya.

Meja bankuet memenuhi separuh dewan.

Skrin menunjukkan komponen GPS, PBB telah menang 2 daripada 47 kerusi yang ditandingi, tetapi tidak menamakan kerusi tersebut.


Kadar keluar mengundi 55 peratus setakat 4 petang

5.45 petang: Hujan dilaporkan di kebanyakan kawasan, dari Kuching hingga ke Sibu, yang boleh menyebabkan peratus keluar mengundi rendah.

Setakat jam empat petang, SPR melaporkan kadar keluar mengundi 55 peratus.


Pengiraan undi bermula untuk menentukan kerajaan baru Sarawak

5.30 petang: Waktu mengundi telah tamat dengan jangkaan kadar keluar mengundi lebih rendah berbanding PRN 2016 iaitu 68.33 peratus, ekoran cuaca yang tidak mengizinkan.

DUN Sarawak memiliki 82 kerusi, iaitu yang paling banyak bagi Dewan Undangan Negeri di Malaysia. Secara relatif, kawasan pilihan raya di negeri ini lebih kecil berbanding di Semenanjung, dengan jumlah median pengundi sebanyak 12,589.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka kekal sebagai kerajaan ekoran statusnya sebagai penyandang, dilihat bersatu dan sempadan pilihan raya yang memberi kelebihan.

Namun ini tidak bermaksud ia tidak menerima tentangan. Pasukan Malaysiakini di Sarawak sepanjang kempen bertemu pengundi yang kecewa dengan masalah infrastruktur yang berlarutan dan tanggapan sikap tidak acuh pemimpin yang sudah beberapa penggal menjadi wakil rakyat.

Namun, pembangkang gagal bersatu menjelang pilihan raya. Dua pihak pembangkang yang paling menonjol adalah PH dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).