Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Wabak Covid-19: Majikan kekalkan pekerja dengan bayar gaji rendah

Kebanyakan majikan mengekalkan pekerja dengan pembayaran kadar gaji dan upah yang lebih rendah ketika pandemik Covid-19 berikutan permintaan yang lebih perlahan, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

“Walaupun dilihat sebagai alternatif jangka pendek yang lebih baik, namun bagi tempoh jangka panjang perkara ini akan memberi kesan kepada kualiti pekerjaan dan boleh menyebabkan kesejahteraan hidup terjejas,” katanya pada Forum Pasaran Buruh 2021 hari ini yang diadakan secara maya.

Pada forum itu, beliau berkongsi mengenai pendapatan purata isi rumah di Malaysia tahun lepas yang merosot 10.3 peratus, ekoran penurunan pendapatan pekerja bergaji dan bekerja sendiri, yang merupakan punca utama bagi pendapatan isi rumah keseluruhan.

Beliau berkata pasaran buruh kini berdepan cabaran untuk kekal berdaya saing ke arah menyokong pertumbuhan ekonomi susulan penularan Covid-19, iaitu selain isu pengangguran, pelbagai isu struktur dan cabaran jangka pendek perlu ditangani, termasuk peningkatan berterusan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran sejak suku ketiga 2020.

Menurut Mohd Uzir, kini terdapat seramai 1.87 juta orang dengan pendidikan tertiari bekerja dalam kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah dengan kadar 37.7 peratus.

“Isu struktur ini boleh dikaitkan dengan kekurangan permintaan buruh dalam kategori pekerjaan mahir. Ini menunjukkan bahawa industri berdepan kekangan untuk menyerap penawaran buruh yang berpendidikan tertiari bagi mendapatkan pekerjaan yang setara dengan latar belakang pendidikan mereka,” katanya.

Beliau berkata pengurangan waktu operasi sektor ekonomi turut menyumbang kepada peningkatan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan masa, yakni kadarnya meningkat kepada 2.2 peratus pada suku ketiga 2021, berbanding purata suku tahunan 1.3 peratus pada 2019.

"Peningkatan guna tenaga dalam kategori ini yang mampu dan mahu menerima masa kerja yang lebih banyak, juga boleh dikaitkan dengan peralihan kepada situasi pekerjaan fleksibel dari segi masa dan lokasi tempat bekerja," katanya dan menambah bahawa antara golongan dalam kategori berkenaan adalah pekerja sektor gig.

Mohd Uzir berkata pasaran buruh negara mula menunjukkan trend pemulihan dengan kadar pengangguran yang lebih rendah, iaitu 4.3 peratus pada Oktober tahun ini dan bilangan penganggur seramai 705,000 orang.

Meskipun angka tersebut adalah angka pengangguran terendah sejak Mac 2020, namun ia masih melebihi kedudukan sebelum pandemik, iaitu sekitar 500,000 penganggur dan kadar pengangguran sekitar 3.3 peratus, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata situasi pengangguran di kebanyakan negara, termasuk negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada, juga masih belum kembali kepada kedudukan sebelum pandemik.

Sementara itu, pada forum tersebut portal laman sesawang interaktif yang menyediakan maklumat pasaran buruh, Malaysia Labour Market Interactive Data (MyLMID), telah dilancarkan.

Mohd Uzir berkata, MyLMID yang dibangunkan sendiri oleh Biro Statistik Buruh Malaysia (MBLS), membolehkan data rasmi pasaran buruh dalam bentuk jadual dan visual interaktif diakses dengan pantas, selain turut memuatkan konsep dan definisi pengukuran data serta dokumentasi kertas penulisan teknikal oleh MBLS.

Katanya, pembangunan MyLMID antara lain bertujuan membantu pengguna untuk mendapatkan data secara lebih cepat berbanding kaedah sedia ada dan portal itu akan sentiasa ditambah baik bagi mempertingkat kualiti perkhidmatan pengeluaran maklumat pasaran buruh.

MyLMID boleh diakses melalui portal rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) iaitu www.dosm.gov.my atau https://mbls.dosm.gov.my/mylmid/dashboard.html.

- Bernama