Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sedekad lepas Najib kata 'you help me, I help you', Sibu masih dilanda banjir

PRN SARAWAK | Beberapa hari sebelum PRK Sibu pada 2010, Najib Razak yang ketika itu menjadi perdana menteri ketika berkempen di Rajang Park membuat ucapan yang mengundang perhatian iaitu, “You help me, I help you”.

Pada masa itu, Najib berkata jika calon BN Sarawak Robert Lau menang, pentadbirannya akan memperuntukkan RM5 juta untuk projek tebatan banjir.

Walaupun BN Sarawak tewas dalam PRK itu, kerajaan persekutuan dan negeri telah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk tiga fasa projek tebatan banjir di Sibu.

Sebelas tahun selepas ucapan Najib itu, penduduk Sibu bagaimanapun masih berdepan masalah banjir.

Penduduk Rajang Park Wan Delimawati, 48, memberitahu Malaysiakini rumahnya sudah dinaiki air sebanyak tiga kali tahun ini.

Kejadian terbaru berlaku bulan lalu. Dia berkata ketika itu rumahnya telah dimasuki air, selain turut merosakkan kereta dan motosikal milik keluarganya.

“Jika hujan lebat, banjir akan berlaku. Jika banjir di sebelah pagi, air hanya surut sebelah petang,” katanya.

Banjir dan lubang robohan

Masalah banjir bukan terjadi di Rajang Park sahaja memandangkan Sibu terletak di pertemuan dua sungai besar - Sungai Rajang dan Sungai Igan.

Dengan kepanjangan 350 kilometer, Sungai Rajang adalah sungai terpanjang di Malaysia.

Memandangkan Sibu adalah kawasan tanah gambut, sebarang pembangunan dan penyelenggaraan memakan kos yang besar.

Di kawasan Nangka, terdapat 11 rumah di hujung jalan batu dikenali seabgai Lorong Old Oya 22, kira-kira 15 minit daripada bandar Sibu. Ia satu-satunya jalan keluar dari kawasan itu tetapi ditimpa banjir setiap kali hujan.

Seorang penduduk kampung, Huong How Hong memberitahu Malaysiakini yang paras air pernah mencecah pinggangnya, selepas hujan lebat dua bulan lalu.

Ketika Malaysiakini ke kawasan itu pada 12 Disember lalu, paras air telah surut tetapi masih ada lopak di jalan. Penduduk berkata kenderaan mereka sering rosak akibat keadaan jalan itu.

‘Tak akan harung air untuk mengundi’

Huong, 53 adalah pengerusi sebuah dewan perniagaan di Sibu. Dia tinggal di situ seumur hidupnya.

Ketika masih kanak-kanak, katanya, banjir hanya berlaku sekali dalam tempoh 10 tahun, tetapi kini ia berlaku dua kali sebulan. Setiap kali ia berlaku, air hanya akan surut selepas beberapa hari.

Apabila hujan lebat, Huong berkata dia akan terlebih dahulu mengalihkan keretanya ke kawasan lebih tinggi, dan hanya boleh mengalihnya semula sehari kemudian. Untuk ke situ, dia perlu mengharung air dan membersihkan diri di rumah jirannya.

Menurut Huong, dia sudah membangkitkan perkara itu kepada beberapa calon di Sibu serta ahli majlis namun tiada tindakan konkrit yang diambil.

Dia juga mendakwa sejak 10 tahun lalu, adun di Nangka hanya melawat mereka sekali ketika banjir.

“Pilihan raya adalah waktu terbaik untuk suara kita didengar. Setiap kali pilihan raya, saya bangkitkan. Pilihan raya kali ini, tiada (calon) yang jumpa saya,” katanya lagi.

Huong berkata dia mengundi BN Sarawak pada masa lalu. Kali ini, dia tidak berhasrat untuk keluar mengundi kerana musim hujan dan tidak mahu mengharung air untuk ke pusat mengundi.

Kekecewaan terhadap prestasi GPS turut memainkan peranan. Dia yakin kebanyakan jirannya juga tidak akan keluar mengundi.

Nilai hartanah terjejas

Antara kawasan paling teruk terjejas apabila banjir adalah Lorong Berlian di Bukit Assek. Dengan kemudahan seperti tadika dan sekolah rendah di sekitar, harga rumah di situ sepatutnya tinggi.

Namun, sebaik saja beberapa rumah ditenggelami air atau ditimpa lubang robohan (sinkhole), penduduk mula berpindah dan harga pun menjunam.

Salah seorang yang berbuat demikian adalah peniaga sayur yang hanya mahu dikenali sebagai Kong.

Kong, 54, tidak dapat bertahan dengan banjir di kawasan rumahnya dan juga Sibu. Dia bersama keluargany pindah ke Miri dan hanya pulang sekali-sekala.

“Jika rumah saya tak terjejas, pastinya kami tak berpindah,” katanya yang menunjukkan rumah lamanya kepada Malaysiakini.

Sebahagian kawasan rumah itu kini lebih rendah daripada jalan di luar dan saliran di belakang. Ini menyebabkan rumahnya mudah dimasuki air.

Ketika kunjungan Malaysiakini, rumahnya dinaiki air sebanyak beberapa inci.

Keadaan itu menyebabkan dia tidak dapat menyewakan mahupun menjual rumah itu.

“Ada penduduk pedalaman yang datang ke Sibu untuk bekerja dan mahu sewa rumah kerana dekat dengan sekolah.

“Tapi keadaan rumah ini teruk. Bagaimana kalau berlaku kemalangan? Siapa nak bertanggungjawab?” soalnya.

Kong diberitahu kawasan itu adalah paya gambut sebelum perumahan dibina. Dia percaya jika pihak berkuasa tempatan membersihkan saliran secara kerap, keadaan tidak akan menjadi serius seperti sekarang.

Huong dan Kong tinggal di kawasan timur tebing Sungai Rajang dan dalam kawasan bandar Sibu. Tidak banyak pembangunan di kawasan barat tebing, di mana masalah banjir adalah lebih serius.

Di DUN Bawang Assan, terutama di Lebaan, pernah sekali air yang masuk ke dalam rumah tidak surut selama dua bulan selepas banjir berlaku, memusnahkan tanaman dan menjejaskan mata pencarian mereka.

Dua penduduk di kawsan itu mendakwa banjir hanya menjadi masalah utama sejak 10 tahun lalu dan ia kian memburuk.

Apa janji calon?

Di tengah musim pilihan raya ini, penduduk Sibu turut “dibanjiri” banyak janji daripada calon yang mahukan sokongan mereka. Hampir semua calon ada membuat janji berkenaan banjir. Berikut adalah ringkasannya:

Presiden Parti Sarawak Bersatu dan calon Bawang Assan, Wong Soon Koh: Menjanjikan pelaksanaan Fasa 3 dan 4 pelan tebatan banjir kerajaan jika partinya mentadbir negeri.

Presiden Parti Demokratik Progresif dan calon DUN Dudong, Tiong King Sing: Jika dipilih, saliran di kawasan Sibu akan ditambah baik dengan konkrit. Sungai Rajang akan dikorek bagi menampung air hujan.

Calon GPS DUN Bukit Assek, Joseph Chieng: Jika dpilih, Bukit Assek yang merupakan kawasan kejiranan tertua di Sibu akan dibangunkan semula. Dia juga berjanji untuk menyelesaikan masalah longkang tersumbat dan menambah baik sistem saliran di Sentosa.

Calon SUPP DUN Pelawan, Michael Tiang: Akan menambah baik saliran di kawasan Pelawan dengan konkrit. Matlamat utama adalah mengalirkan 80 peratus air kumbahan dari Pelawan ke Sungai Seduan dengan lebih cepat, untuk menyelesaikan masalah banjir kilat.

Masalah banjir di Sibu telah menyebabkan kerajaan Sarawak dan persekutuan membelanjakan ratusan juta ringgit untuk pelan tebatan banjir sebanyak lima fasa, bermula 2008.

Fasa empat didanai oleh kerajaan persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri. Kerajaan negeri memperuntukkan RM120 juta untuk fasa ini di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

Walaupun dengan usaha-usaha ini, boleh dikatakan semua penduduk Sibu ada pengalaman banjir masing-masing. Seorang penduduk Bukit Assek, misalnya, mendakwa ada di kalangannya yang tinggal di hotel selama seminggu sementara menunggu air surut.

Seorang penduduk di Lebaan pula mendakwa dia terperangkap di rumah selama dua bulan beberapa tahun lalu, dan bergantung kepada anak-anaknya untuk menghantar barangan keperluan.

Beberapa penduduk di Dudong mendakwa sebaik saja Empangan Bagong siap, keadaan di kawasan itu bertambah baik.

Namun Huong, yang tinggal di Nangka, berkata apabila Empangan Bagong melepaskan air, jalan di kawasannya pula yang dinaiki air.

Kebanyakan yang diwawancara Malaysiakini merasakan punca utama adalah kegiatan pembalakan dan pembersihan hutan untuk tanaman kelapa sawit di pedalaman. Mereka berpandangan mendapan yang masuk ke Sungai Rajang telah mencetekkan sungai itu.

Mereka juga mempersoalkan mengapa masalah itu masih tidak selesai walaupun setelah kerajaan mengeluarkan banyak dana untuk projek tebatan banjir.

Pada 2015, Wetland International dalam laporan kajiannya mengingatkan yang lebih 80 peratus di delta Rajang adalah tanah gambut, justeru tidak sesuai untuk perladangan kelapa sawit yang memerlukan saliran buatan.

Jika tidak, menurut laporan itu, hampir semua tanah gambut di kawasan itu dijangka akan terjejas dan berdepan masalah banjir dalam masa beberapa dekad.

Terdapar 82 kerusi DUN di Sarawak dan para pengundi akan membuat pilihan mereka Sabtu ini.

[Baca berita asal]