Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Muda gesa kerajaan tangguh pindaan Akta 342

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa kerajaan menangguhkan perbahasan usul pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 (Akta 342) seperti dicadangkan Kementerian Kesihatan.

Dalam satu kenyatan, Jawatankuasa Muda menyifatkan pindaan akta itu sebagai tidak munasabah dan dilakukan secara tergesa-gesa.

"Menurut pindaan ini, individu yang gagal mematuhi SOP kesihatan boleh dikenakan tindakan denda maksimum RM100,000 dan penjara 7 tahun sebelum ditukar pada minit terakhir kepada denda RM50,000 dan penjara 3 tahun.

“Ini jelas menggambarkan Pindaan Akta 342 ini didraf secara tergesa-gesa dan dibuat tanpa ada rasa tanggungjawab kepada rakyat.

"Ahli-Ahli Parlimen juga hanya dapat tahu secara lebih terperinci Pindaan Akta 342 bermula hari Isnin 13 Disember 2021," katanya.

Akta 342 memberi kuasa kepada ketua pengarah kesihatan untuk mengenakan denda maksimum RM1,000 terhadap individu yang melanggar SOP seperti kegagalan memakai pelitup muka di tempat awam.

Selain itu Muda juga membangkitkan kebimbangan mengenai amalan dua darjat sekiranya akta itu dikuatkuasakan nanti.

"Muda juga ingin menzahirkan kebimbangan perlaksanaan Pindaan Akta 342 ini akan terus dibuat antara dua darjat dengan membeza-bezakan layanan antara rakyat biasa dan menteri seperti yang telah diamalkan oleh kerajaan selama ini.

"Maka, Muda ingin menggesa kerajaan untuk menangguhkan perbahasan usul Pindaan Akta 342 dan mengambil kira terlebih dahulu pandangan dari Ahli-Ahli Parlimen, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), komuniti perniagaan dan Majlis Peguam sebelum merangka semula Pindaan Akta 342," jelasnya.

Dalam pada itu Ketua Parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata cadangan kerajaan untuk menyemak semula Akta 342 merupakan kemenangan kepada rakyat.

"Ini adalah kemenangan rakyat kerana desakan yang datang dari rakyat. Kita menolak undang-undang dua darjat.

"Kita hanya menyokong jika undang-undang itu adil dan saksama," katanya kepada Malaysiakini.