Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Rompakan berkumpulan: SPRM serah 2 lagi pegawai pada polis

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerahkan dua lagi pegawainya kepada pihak polis untuk membantu siasatan kes rompakan berkumpulan melibatkan kerugian RM700,000, di Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Dalam kenyataan malam tadi, SPRM berkata telah memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan kes itu.

“SPRM mengesahkan telah membantu siasatan pihak polis dan menyerahkan dua lagi pegawai bagi membantu siasatan tersebut.

“Sekali lagi, SPRM ingin menegaskan bahawa kami tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dalam jenayah dan menggesa agar siasatan ini disegerakan,” kata suruhanjaya itu.

Terdahulu, dua individu termasuk seorang pegawai SPRM dilaporkan telah ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes rompakan di sebuah rumah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan masing-masing direman tiga dan empat hari.

SPRM berkata pihaknya telah mengesan pegawai tersebut dan menyerahkannya kepada polis sehari selepas kejadian.