Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Tuan Ibrahim gagal sampaikan mesej M'sia kepada dunia'

Kehadiran Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man, ke Persidangan Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-26 (UNFCCC COP-26) baru-baru ini disifatkan sebagai sia-sia.

Jurucakap Alam Sekitar dan Air PKR, Fuziah Salleh, berkata meskipun Tuan Ibrahim menerima pujian ramai atas 'keberaniannya' berucap menggunakan bahasa Melayu, namun ia didakwa gagal menyampaikan mesej dan pendirian Malaysia kepada dunia berhubung isu perubahan iklim.

Kata Ketua Wanita PKR itu, ucapan Tuan Ibrahim dalam bahasa Melayu itu dilakukan pada seminar antarabangsa yang sangat penting.

"Jadi, matlamat nombor satu ialah untuk menyampaikan kepada dunia apa pendirian Malaysia berkenaan dengan perubahan iklim, memberitahu dunia bertapa seriusnya Malaysia menangani agenda perubahan iklim serta bagaimana komitmen Malaysia.

"Bahasa hanyalah medium penyampaian, dan sekiranya dia nak memartabatkan bahasa Melayu sudah tentu ia dialu-alukan tapi kenalah pastikan mesej yang hendak disampaikan itu diterima dengan berkesan," katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Fuziah Malaysia sebenarnya gagal menyampai mesej alam sekitar kepada dunia malah pemergian Tuan Ibrahim ke persidangan antarabangsa itu dianggap sia-sia.

Pastikan medium dipilih efektif

Menurut Ahli Parlimen Kuantan itu lagi kini menjadi tugas Tuan Ibrahim untuk memastikan mesej yang hendak disampaikan Malaysia itu diterima dunia.

"Itu isunya dan dia kena pastikan mesejnya sampai. Penyampainya ialah bahasa. Kalau memartabatkan bahasa itu lebih besar kepada menteri, maka kita gagallah untuk memahami peranan sebenar menteri diberikan ruang berucap di persidangan tersebut," jelasnya.

Fuziah berkata demikian sebagai mengulas tindakan Tuan Ibrahim berucap menggunakan bahasa Melayu di UNFCCC COP-26 yang berlangsung di Glassgow, Scotland, pada Nov lalu.

Mengulas lanjut, Fuziah turut mempersoalkan sama ada Tuan Ibrahim yang juga timbalan presiden PAS itu sebenarnya mahu memartabakan bahasa Melayu atau tidak menguasi bahasa Inggeris.

"Apa keputusannya? Kalau dia letak matlamat yang pertama tadi untuk menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia komited, Malaysia nak buat begitu dan begini dia perlu menggunakan medium dan memastikan medium itu efektif.

"Kalau nak guna bahasa Melayu kena pastikanlah ada penterjemah," katanya.

Tuan Ibrahim juga, kata Fuziah, perlu membezakan matlamat dengan wasilah, platform mahupun medium, atau pun cara.

Katanya dengan apa yang dilakukan menteri terbabit bolehlah dianggap dia tidak tahu apa matlamat sebenar diberu kesempatan berdiri di pentas dunia itu.

Jika mahu menyampaikan kepada dunia tentang komitmen Malaysia, kata Fuziah, ahli parlimen Kubang Krian terbabit perlu memastikan dia menggunakan kaedah yang berkesan.

"Boleh saja dia nak martabatkan bahasa Melayu tapi pastikan ia mesti efektif," katanya.

Patut ada penterjemah

Selain itu tambah Fuziah Tuan Ibrahim boleh saja berucap menggunakan bahasa Inggeris jika tidak dapat menyediakan penterjemah kerana tujuan utama pemimpin negara berucap di situ ialah memberitahu komitmen kepada dunia.

Nov lalu Tuan Ibrahim Tuan Man menerima pujian dan juga kritikan ketika menyampaikan ucapannya menggunakan bahasa Melayu di pentas persidangan antarabangsa.

Pun begitu, Presiden NGO Sahabat Alam Malaysia Meenakshi Raman memberitahu Malaysiakini isunya melangkaui soal perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Dia mendakwa tidak ada penterjemahan langsung ketika Tuan Ibrahim berucap pada 10 Nov lalu itu.

Tambahnya, keadaan sedikit sulit kerana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahasa Malaysia tidak diiktiraf sebagai bahasa rasmi.

"Jadi bila anda pergi ke sidang UNFCCC-COP 26 hendak berucap, boleh berucap dalam bahasa Malaysia tetapi harus ada penterjemahan sendiri.

"Kamu perlu bayar atau bawa penterjemah kamu sendiri. Jangan harapkan PBB untuk sediakan," katanya yang turut hadir sebagai delegasi pertubuhan masyarakat sivil pada sidang itu.

Sementara itu, pejabat media UNFCC ketika dihubungi Malaysiakini untuk menjelaskan mengenai ucapan Tuan Ibrahim, cuma memberi jawapan ringkas bahawa "terdapat enam bahasa rasmi PBB: Bahasa Arab, Mandarin, Inggeris, Perancis, Russia dan Sepanyol."

"UNFCCC menyediakan penterjemahan untuk mesyuarat rasmi dalam kesemua enam bahasa rasmi ini," kata pembantu media dan maklumat awam UNFCC Carrie Aβheuer melalui emel semalam.

Sidang COP26 mempertemukan lebih 192 buah negara yang memeterai Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCC) dengan kehadiran lebih seratus pemimpin dunia, bermula 30 Oktober hingga 12 Nov lalu.

Antara pemimpin dunia yang hadir pada majlis pembukaan COP26 1 Nov lalu ialah Perdana Menteri UK Boris Johnson, Presiden AS Joe Biden, Canselor Jerman Angela Merkel, Perdana Menteri India Narendra Modi, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.