Hutang 1MDB: Pengerusi PAC bidas Najib kata laporan j'kuasa propaganda DAP
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh membidas bekas perdana menteri Najib Razak yang menurutnya cuba mengalihkan isu pembelian plot tanah oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2017 sebagai antara usaha membayar hutang 1MDB.
Wong merujuk kenyataan Najib bahawa ia adalah usaha DAP untuk meneruskan “propaganda” yang dimainkan sejak 2017 menerusi satu hantaran di Facebook semalam.
Wong mengkritik kenyataan Najib yang dilihat cuba mencemarkan sikap saksama PAC, dengan menyatakan hanya sedikit ahli DAP yang menganggotai jawatankuasa itu.
"Senang sahaja PM6 (perdana menteri keenam iaitu Najib) untuk sebut DAP dalam jawapannya. Kaitkan DAP sahaja PM6 dapat lepas tangan.
“PM6 perlu tahu ini laporan PAC, bukan laporan mana-mana parti.
“PAC ada 14 anggota. Tiga dari Umno, Bersatu (3), DAP (2), PAS (2), GPS (1), PKR (1), Amanah (1) dan Warisan (1),” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
PAC baru-baru ini mengesahkan bahawa satu plot tanah yang dibeli Bank Negara Malaysia (BNM) daripada kerajaan persekutuan pada 2017 adalah untuk membayar hutang 1MDB.
PAC berkata Bank Negara Malaysia membayar sebanyak RM2.07 bilion untuk tanah itu, sedangkan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) meletakkan harganya sebagai RM1.422 bilion.
Menyifatkan PAC sebagai “jawatankuasa diketuai DAP”, Najib semalam berkata kesimpulan itu adalah usaha DAP untuk meneruskan propaganda yang dimainkan sejak tahun 2017 sebelum PRU14.
Namun Wong berkata setiap keputusan PAC dibuat secara konsensus dan menerusi perbincangan semua anggotanya.
"Dalam PAC, kesemua 14 kami - tidak kira baju apa kami pakai dan lambang mana kami wakili - kami bertanggungjawab kepada rakyat, dengan mandat daripada Dewan Rakyat.
"PAC buat keputusan secara konsensus. Kami bincang, buat rumusan dan bagi cadangan," katanya.
Dia juga menyindir Najib dengan mengatakan mungkin PAC pada masa ini tidak sama seperti ketika pentadbiran Najib dahulu.
“PAC sekarang tidak bersikap 'cari makan',” katanya merujuk kenyataan bekas pengerusi Hasan Arifin yang mengundang perhatian pada 2015.
“Pengerusi PAC sekarang tidak menyunting laporan PAC yang telah muktamad,” katanya lagi, kali ini merujuk dakwaan campur tangan pada 2016.
“PM7 (Dr Mahathir Mohamad) tak campur tangan, PM8 (Muhyiddin Yassin) tak campur tangan, PM9 (Ismail Sabri Yaakob) tak campur tangan,” katanya lagi.
Meneruskan sindirannya, Wong berkata dia boleh mengundang Najib bila-bila masa ke mesyuarat PAC, jika dia "ada masa terluang (dan) tak turun naik mahkamah".
Malah dia turut menyertakan nombor telefon JPPH agar Najib boleh merujuk mereka berhubung perkara tersebut.
“PAC profesional. Kami dapat pengesahan daripada ketua setiausaha perbendaharaan ke mana wang jualan itu pergi.
"Baca Laporan PAC, muka ke muka, sampai habis. Jangan tak baca,” katanya lagi, sambil menyertakan pautan laporan tersebut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai