Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahathir gesa bincang peranan raja berperlembagaan

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa perbincangan awam dibuat melibatkan hal ehwal dan peranan sistem raja berperlembagaan.

Gesaan itu dibuat dalam buku autobiografi terkininya Capturing Hope sewaktu membincangkan soal hubungan kaum dalam “Malaysia baru”.

Mengakuinya sebagai subjek yang sukar, Mahathir berkata dia seorang yang percayakan kepada sistem itu, tetapi perbincangan mesti dibuat.

“Malaysia sebuah negara raja berperlembagaan dan ini termaktub dalam perlembagaan.

“Perlembagaan juga menyebut bahawa pemerintahan beraja mempunyai beberapa peranan, seperti juga kepimpinan politik dan rakyat,” katanya.

“Semua peranan dan tanggungjawab ini disebut jelas dalam perlembagaan dan tiba masanya untuk kita perbincangan di peringkat kebangsaa berkaitan hal ehwal raja berperlembagaan dan dan peranan perlembagaan yang sesuai, yang tertakluk ke atas raja-raja.”

Katanya, raja-raja tidak patut terlibat dalam politik dan perniagaan. Dia mendakwa terdapat pihak menggunakan nama istana untuk mendapat kelebihan yang tidak adil dalam bidang itu.

Bagaimanapun, pendirian Mahathir dalam isu penglibatan raja-raja dalam politik tidak dinyatakan secara hitam putih dalam buku itu.

Contohnya, Mahathir juga percaya orang Melayu tidak maju kerana sifat “berserah hampir feudal kepada kerabat diraja dan orang bergelar”. 

Katanya orang Melayu juga cenderung mendapatkan perlindungan daripada raja-raja jika ada sesuatu yang tidak kena.

'Majoriti saya paling tinggi'

Sementara itu mengulas pelantikan perdana menteri baru selepas dia meletakkan jawatan pada Februari 2020, dia percaya Agong bertindak secara betul dengan menentukan sokongan majoriti secara akuan berkanun.

Muhyiddin Yassin

Bagaimanapun dia mempersoalkan keputusan memilih Muhyiddin Yassin sebagai penggantinya. 

Mahathir berkata dia mempunyai sokongan yang paling banyak ketika itu.

TMJ patut saman jika rasa dihina - Dr M

Sementara itu, dalam bukunya, Mahathir juga lantang terhadap Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sebelum menyarankan perbincangan awam berkaitan institusi raja-raja, Mahathir juga mengimbas kembali kes penyampai radio Patrick Teoh yang ditangkap dan dituduh di mahkamah atas dakwaan menghina TMJ dan kerabat diraja di media sosial.

“Tiada undang-undang yang melindungi seorang putera mahkota itu daripada kritikan awam. 

"Betul, kamu tidak boleh cakap benda buruk kepada raja-raja, tetapi tiada undang-undang yang meletakkan putera mahkota dalam kedudukan kedudukan tinggi yang sama.

"Tambahan pula, putera mahkota (Johor) terlibat dalam politik dan perbahasan politik, dia sekurang-kurangnya mesti bersedia untuk dikritik,” katanya.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Veteran politik 90-an itu berkata TMJ sepatutnya memfailkan saman fitnah terhadap Teoh jika dia merasa dihina.

“Bagaimanapun, urusan dengan putera mahkota menunjukkkan bahawa rakyat tidak boleh komen berkaitan raja-raja termasuk jika sesuatu kesalahan dilakukan. 

"Perkara ini tidak boleh diterima," kata anggota parlimen Langkawi.

Dia turut memetik kata-kata popular Hang Jebat: “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”.

[Baca berita asal]