Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Guan Eng keluar IJN, akan hadir bicara kes rasuah esok

Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) selepas menjalani rawatan.

Susulan itu, Lim yang juga adalah bekas menteri kewangan dijangka menghadiri perbicaraan kes rasuah esok yang berkaitan dengan projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.

Peguamnya Haijan Omar memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini bahawa dia telah diberi pelepasan dari wad dan boleh menghadiri prosiding esok.

Semalam, Lim dilaporkan tidak dapat hadir ke mahkamah kerana dimasukkan ke IJN sejak Ahad.

Di sebalik tanpa kehadiran Lim, hakim Azura Alwi semalam membenarkan permohonan peguam pembelaan untuk prosiding diteruskan tanpa tertuduh, mengikut Seksyen 264 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Semasa prosiding hari ini yang tanpa kehadiran Lim, Azura bertanya kepada peguam bela sama ada tertuduh cukup sihat untuk menghadiri perbicaraan esok.

Azura: Tertuduh okay? Bolehkah dia datang (perbicaraan) esok?

Haijan: Saya percaya dia telah keluar (IJN) dan akan datang (di mahkamah) esok.

Prosiding disambung hari ini dengan keterangan daripada saksi ke-20 pendakwaan iaitu pegawai DUN Pulau Pinang Mohd Farulizam Che Meh.

Perbicaraan akan disambung semula sekitar 9.30 pagi esok.

Lim berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

[Baca berita penuh]