Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sumber: Pengimbas kastam tak diselenggara buka ruang untuk penyeludupan

Dengan proses pemasangan pengimbas sinar-X baru bagi pemeriksaan Kastam sedang berjalan, pengimbas lama kini terbiar tanpa diselenggara, menurut sumber.

Sumber itu berkata, ia menyebabkan masalah berkaitan sistem pemeriksaan dan membuka ruang terhadap kegiatan penyeludupan.

Dia mendakwa sekurang-kurangnya 10 pengimbas di Semenanjung Malaysia telah rosak kerana dengan tamatnya kontrak, dengan sebahagiannya sejak tiga tahun lalu.

Ini termasuk tiga pengimbas kargo di Westport di Pelabuhan Klang, yang dilaporkan tidak berfungsi sejak Disember 2019.

“Semua pengimbas ada masalah kerana tidak diselenggara. Tiada kontrak (diperbaharui) sehingga kini. Kontrak tamat pada Ogos 2019,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Menurut laporan, terdapat sekurang-kurangnya dua kesesakan teruk di laluan Link Kedua di Johor sejak tiga tahun lalu ekoran masalah pengimbas.


Baca: Jutaan Ringgit dibelanjakan untuk pengimbas kastam bermasalah


Pada September 2019, dilaporkan dua pemandu menghentikan lori mereka di tengah jalan untuk membantah tempoh menunggu yang lama di checkpoint, menyebabkan trafik tidak bergerak selama beberapa jam.

Sumber mendedahkan yang satu daripada dua pengimbas di unit import tidak berfungsi pada masa itu.

Katanya lagi, Jabatan Kastam memasang pengimbas baru selepas insiden itu. Namun, pada Mei lalu, kesesakan teruk sekali lagi berlaku akibat masalah serupa, menyebabkan ratusan lori terkandas selama beberapa jam.

Bahaya radiasi

Sumber barkata pengimbas sinar-X perlu diselenggara secara berkala bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.

Katanya, generator juga perlu diperiksa bagi mengelakkannya membawa ancaman radiasi, seperti yang digariskan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

“Tetapi sekarang pengimbas beroperasi tanpa henti, tanpa diperiksa atau diselenggara. Pasti akan berlaku kerosakan.

“Komponen sensitif seperti modul pengesan mudah terdedah kepada habuk, suhu dan keadaan lembap. Ia juga boleh berkarat dengan mudah.

“Jika sistem aliran udara dan pendingin hawa di seaport tidak diselenggara, habuk akan terkumpul dan merosakkan imej yang diimbas,” katanya lagi.

Tiga pengimbas kargo di Westport, Pelabuhan Klang

Dia mempersoalkan sebab kerajaan mengeluarkan belanja lebih RM240 juta untuk pengimbas baru tetapi pada masa sama gagal memperbaharui kontrak penyelenggaraan untuk pengimbas sedia ada.

“Akibat kegagalan mesin berfungsi adalah serius. Kerajaan bukan saja perlu belanja lebih banyak wang untuk membaikinya, tetapi ia juga membuka ruang kepada penyeludup,” katanya lagi.

Antaranya percubaan menyeludup 727 tayar bernilai RM697,000 melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru pada awal bulan lalu.

“Laporan menyatakan lori tersebut diisytihar kosong tetapi sebenarnya penuh dengan tayar. Jika pengimbas berfungsi dengan baik, kes seperti ini akan dikesan lebih awal.

“Pengimbas seperti penjata gol. Sebaik saja sindiket penyeludupan melepasi pertahanan, maka sukar untuk pihak berkuasa mengesan mereka,” katanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam untuk mendapatkan maklum balas berkenaan perkara ini.

Pada 23 September lalu, Jabatan Kastam Johor mengumumkan pengimbas kargo berteknologi tinggi baru miliknya dilengkapi dengan spesifikasi “Kecerdasan Buatan (AI) dan Pertubuhan Kastam Dunia (WCO)”.

Namun, Malaysiakini semalam melaporkan ujian percubaannya terdapat masalah dengan pengimbas baru dari China itu.