Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

48 kematian dilaporkan, jumlah korban 30,956

Kementerian Kesihatan melaporkan sejumlah 48 kematian baru akibat Covid-19 semalam (14 Dis), menjadikan jumlah kematian adalah sebanyak 30,956 orang.

Malaysia mencatatkan jumlah kematian per kapita tertinggi di rantau Asean dan Asia Timur dengan 939 kematian bagi setiap satu juta penduduk.

Daripada jumlah kematian baru, 25 peratus atau 12 orang meninggal dunia sebelum mendapat rawatan di hospital.

Pulau Pinang mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi iaitu sebanyak 8 kes atau 16.7 peratus daripada kes kematian baru yang dilaporkan.

Ini diikuti Kelantan (6), Sabah (6), Terengganu (6), Selangor (5), Perak (4), Johor (3), Negeri Sembilan (3), Kedah (2), Kuala Lumpur (2), Pahang (1), Sarawak (1) dan Labuan (1).

Tiada kematian baru dilaporkan di Melaka, Perlis dan Putrajaya.

Sebanyak 44 daripada 48 kematian yang dilaporkan atau 91.7 peratus berlaku dalam tempoh tujuh hari lalu.

Kematian selebihnya berlaku lebih seminggu lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata 43 kematian akibat Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam tempoh 30 hari lalu berbanding purata 34 kematian dalam tempoh tujuh hari, menunjukkan trend penurunan.

Sehingga kini, sebanyak 642 kematian Covid-19 dilaporkan pada bulan ini.

Setakat semalam, sebanyak 57,674 kes aktif Covid-19 telah dikesan. Ini adalah pengurangan sebanyak 4.5 peratus daripada 60,411 kes aktif seminggu yang lalu.

Berbanding tempoh 30 hari lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 11.8 peratus daripada 65,419 kes.

Kementerian Kesihatan tengah malam tadi mengeluarkan butiran lanjut mengenai kes baru Covid-19 semalam.

Daripada 4,097 kes baru semalam, sebanyak 152 daripadanya dikesan daripada kluster Covid-19 sedia ada.

Daripada kes berkaitan kluster, 123 (80.9 peratus) adalah dari tempat kerja manakala 17 (11.2 peratus) adalah daripada kumpulan berisiko tinggi.

Baki kes dikesan daripada kluster berkaitan institusi pendidikan (12 - 7.9 peratus).