Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selepas Undi18 diterima, tiba masa mansuh Auku - Pemuda PKR Wilayah

Kerajaan perlu memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) selaras dengan pelaksaaan Undi18, kata Ketua Pemuda PKR Wilayah Persekutuan, P Prabakaran.

Menurutnya, sangat tidak wajar untuk kerajaan membiarkan Auku diteruskan berkuat kuasa untuk mengekang kebebasan pelajar sedangkan Undi18 sudah dilaksanakan.

"Saya berpendapat Auku ini perlu dimansuhkan segera memandangkan Undi18 sudah berkuat kuasa bermula tahun hadapan.

"Jika anak muda berumur 18 tahun pun sudah boleh menjadi calon pilihan raya, saya fikir adalah tidak logik untuk mempunyai akta seperti Auku yang mengekang kebebasan mereka berorganisasi.

"Ia seolah-olah langkah progressive backward," katanya.

Tambah ahli parlimen Batu itu lagi negara ini tidak wajar untuk mengekalkan suatu akta yang mengekang kebebasan para pelajar sekarang.

Hal itu kerana katanya pada tahun hadapan seseorang warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun sudah layak untuk menjadi calon dan mengundi dalam pilihan raya.

Sudah tentu kata Prabakaran tidak wajar akta yang mengekang generasi muda seperti Auku dikekalkan dalam keadaan sebegitu.

Menurutnya lagi semasa dalam sidang kamar khas parlimen tahun lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad, ada menyatakan hasrat untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Penambahbaikan Auku.

Namun sehingga hari ini katanya tidak pernah ada satu pun mesyuarat berkenaan jawatankuasa tersebut diadakan.

Pada Ogos tahun lalu, Noraini mendakwa Auku masih relevan, namun kementeriannya sentiasa terbuka terhadap cadangan dan pandangan bagi menambah baik akta itu.

Ia termasuk memperkasakan jawatankuasa teknikal Auku yang terdiri daripada pakar undang-undang, ahli akademik dan bukan akademik dari universiti awam dan swasta serta penuntut dan alumni.

"KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) responsif ke atas aspirasi pelbagai pihak yang inginkan Auku ditambah baik dari semasa ke semasa.

"Atas dasar itulah Auku mengalami proses pindaan sebanyak tujuh kali sejak diwartakan pada 1971 hingga pindaan terakhir pada 2019,” kata Noraini.

Prabakaran meminta Noraini membuat keputusan terbaik berkenaan status Auku yang bertentangan dengan penerimaan Undi18.

"Dengan memberi autonomi dan kebebasan akademik kepada pelajar, ia selaras dengan keputusan kerajaan menurunkan had umur mengundi yang memberi kebebasan kepada anak muda untuk memilih kepimpinan negara," katanya.