Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Isteri Amri mohon mahkamah dedah laporan petugas khas diklasifikasi OSA

Isteri kepada Amri Che Mat memohon mahkamah untuk memerintahkan pelepasan laporan pasukan petugas khas yang diklasifikasikan Akta Rahsia Rasmi (OSA) mengenai kes kehilangan paksa aktivis sosial itu pada 2016.

Norhayati Mohd Ariffin memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis minggu lalu.

Dia memohon mahkamah untuk membatalkan klasifikasi OSA bagi mengakses laporan itu untuk mengukuhkan tuntutan saman sivil berkaitannya terhadap polis (PDRM) dan kerajaan persekutuan berhubung kehilangan suaminya lima tahun lalu.

Pada 26 Jun 2019, dua bulan selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) membuat kesimpulan bahawa Amri menjadi mangsa kehilangan paksa, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk menyiasat semula perkara itu.

Bagaimanapun pada 2 April tahun ini, kumpulan masyarakat sivil The Citizens Against Enforced Disappearances (Caged) meminta kerajaan untuk mendedahkan laporan pasukan petugas khas itu.

Gesaan Caged ini berikutan kekurangan maklumat terkini mengenai status laporan itu dan tindakan yang perlu diambil oleh kerajaan.

Menurut salinan permohonan semakan kehakiman yang dilihat oleh Malaysiakini, pemfailan Norhayati itu menyenaraikan Setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis, Mohd Russaini Idrus dan kerajaan masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Menerusi dokumen mahkamah, Norhayati berhujah bahawa kerajaan, melalui afidavit yang difailkan pada 13 Sept tahun ini, mendedahkan laporan pasukan petugas itu diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi di bawah OSA, dan mendakwa pendedahan penemuan itu bertentangan dengan kepentingan negara. .

Dia merujuk kepada afidavit jawapan kerajaan terhadap permohonan mengenai laporan itu yang difailkan sebahagian daripada tuntutan sivil utamanya berhubung kehilangan Amri.

Melalui afidavit itu, kerajaan menolak permohonan untuk mendapatkan laporan pasukan petugas berkenaan.

Norhayati berhujah walaupun kerajaan enggan mendedahkan laporan pasukan petugas itu namun kerajaan tidak mengambil pendirian bahawa laporan berkenaan tidak relevan dengan tuntutan saman sivil utamanya.

Muhyiddin Yassin bersama pasukan petugas khas siasat kehilangan paksa.

"Pemohon (Norhayati) teruk terjejas (‘adversely affected’) dengan keputusan responden-responden (kerajaan dan polis) untuk menganggap lapoan tersebut sebagai rahsia rasmi dalam pengertian Akta Rahsia Rasmi.

"Hakikat bahawa mereka menganggap laporan tersebut seperti sedemikian hanya dimaklumkan kepada pemohon pada 13 September 2021 melalui Afidavit Jawapan.

"Laporan tersebut mengandungi maklumat yang relevan kepada perkara-perkara yang berbangkit dalam guaman sivil tersebut dan seterusnya mengandungi maklumat yang secara tidak boleh dinafikan adalah demi kepentingan awam.

"Ia disediakan oleh pasukan petugas untuk merekodkan penemuan suatu siasatan terhadap penemuan yang dibuat oleh Suhakam dalam Laporan Suhakam (yang memutuskan Amri mangsa penghilangan paksa)," katanya.

"Dalam laporan tersebut, Suhakam mendapati bahawa suami pemohon telah diculik oleh ejen negeri dan bahawa PDRM (didakwa) gagal menyiasat perkara itu dengan berkesan.

"Guaman sivil itu bersangkutan dengan (dakwaan) kegagalan PDRM untuk menyiasat penculikan suami pemohon secara berkesan. Maklumat dalam laporan tersebut adalah sangat relevan.

"Oleh itu, pemohon sepatutnya mempunyai akses kepada laporan itu keranavia bersangkutan dengan kelakuan PDRM berhubung dengan perkara yang mengelilingi kehilangan suaminya.

"Ini adalah penting kepada tuntutannya dalam guaman sivil tersebut dan adalah penting untuk akses beliau kepada keadilan, suatu hak yang dijamin di bawah Perkara 5 dan 8, Perlembagaan Persekutuan," kata Norhayati.

Perkara 5 menggariskan hak asasi bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan nyawa atau kebebasan peribadi kecuali mengikut undang-undang, manakala Perkara 8 menggariskan hak perlembagaan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan undang-undang yang sama.

Dia juga mendakwa laporan pasukan petugas itu tidak sesuai untuk diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi bawah OSA.

Permohonan semakan kehakiman Norhayati meminta beberapa perintah mahkamah.

Antaranya pengisytiharan bahawa laporan pasukan petugas itu tidak termasuk dalam definisi rahsia rasmi mengikut Seksyen 2 OSA; perintah untuk membatalkan keputusan Russaini yang menganggap Laporan itu sebagai "rahsia rasmi" bawah OSA pada 14 Sept tahun lepas; dan perintah untuk memaksa kerajaan mengeluarkan laporan itu kepadanya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah tersebut.

Ketika dihubungi petang ini, peguamnya Surendra Ananth mengesahkan salinan permohonan semakan kehakiman telah diserahkan kepada kedua-dua responden.

Peguam itu berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan 12 Jan tahun depan bagi mendengar permohonan Norhayati supaya diberikan kebenaran memulakan semakan kehakiman untuk mengakses laporan pasukan petugas khas itu.

Jika Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran, ia kemudiannya akan menetapkan tarikh lain untuk mendengar hujahan daripada pihak-pihak berkenaan mengenai merit semakan kehakiman yang sepatutnya.

Pada 3 April 2019, siasatan awam Suhakam menyimpulkan Amri dan paderi Raymond Koh, yang masing-masing hilang pada 2016 dan 2017, merupakan mangsa kehilangan secara paksa.

Panel tiga anggota itu juga sebulat suara membuat kesimpulan bahawa pelakunya membabitkan anggota Cawangan Khas daripada ibu pejabat polis Bukit Aman.

[Baca laporan asal]