Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

10 pelajar terlibat membuli dibuang dari MRSM

Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) menamatkan pengajian 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli yang tular baru-baru ini.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Azhar Abdul Manaf, berkata mesyuarat JDM telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit berkuat kuasa hari ini.

"Pihak Mara mengambil serius kejadian buli yang berlaku minggu lalu itu dan hukuman yang telah diputuskan ini menunjukkan pihak kita tegas dan tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar-pelajar di bawah mana-mana Institusi Pendidikan Mara (IPMA) mahupun tajaan Mara," katanya dalam kenyataan media di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan kejadian satu kes buli didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.

Susulan pihak polis menjalankan siasatan dan Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata 10 pelajar disyaki terlibat ditahan untuk diambil keterangan. 

Azhar berkata, ibu bapa pelajar terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa berkenaan.

Jelasnya lagi, keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dinyatakan dalam panduan pengurusan disiplin pelajar MRSM.

"Keputusan ini kita harap ianya bukan sahaja menjadi satu pengajaran kepada pelajar yang terlibat, tetapi juga kepada pelajar-pelajar yang lain agar tidak berlaku lagi perbuatan salah laku di mana-mana institusi pendidikan di bawah Mara.

"Kami di Mara tentunya hendak melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan tetapi juga mempunyai sahsiah diri dan tingkah laku peribadi yang baik dan diterima oleh masyarakat," katanya.

Tambahnya, Mara juga komited dalam menangani kes-kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard melalui penguatkuasaan peraturan sekolah di samping pemantauan berterusan segala aktiviti pelajar termasuk proses pembelajaran di dalam kelas bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.