Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Anwar sokong MA63 tapi ingatkan jangan salah guna kuasa imigresen

  • Dikemas kini dengan laporan penuh.

Presiden PKR Anwar Ibrahim (Port Dickson-PH) menggesa supaya lebih banyak kuasa diberikan kepada rakyat Sabah dan Sarawak, namun mengingatkan pemimpinnya supaya tidak mengulangi salah guna kuasa dalam soal imigresen dan rasuah.

Ketua Pembangkang itu membahaskan empat pindaan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hari ini.

"Ini saya fikir satu peringatan kepada pimpinan Sabah dan Sarawak. Pertama, untuk memahami aspirasi kemerdekaan, memahami bahawa pasukan keselamatan majoriti di Semenanjung turut menjaga, mempertahan, membela mereka, kepentingan rakyat.

"Dan berikutnya menjaga supaya kuasa yang lebih itu bukan bermakna mereka boleh dan lakukan sewenang-wenangnya. Lihat apa yg dibincangkan, peruntukan daripada kerajaan persekutuan,"kata Anwar ketika berbahas di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata dia menyokong sepenuhnya semangat pindaan MA63 dengan syarat ia memberi manfaat kepada rakyat.

"Kita ambil contoh imigresen. Imigresen itu semangat kesatuan Malaysia, bukan untuk menyalahgunakan sampaikan ahli parlimen tak boleh masuk Sarawak. Ini bukan cara dia.

"Saya hormati hak itu. Tapi nampaknya ia digunakan termasuk dalam musim pilihan raya ini, menghalang kemasukan ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat.

"Tapi jangan dilupakan bahawa selama sejak merdeka, 58 tahun ini, terlalu ramai pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak, pemimpin silih berganti, ketua silih berganti tetapi memunggah kekayaan yang luar biasa dan dalam masa yang sama, memiskinkan rakyat.

"Ini bukan semangat penubuhan Malaysia," kata Anwar.

Rang undang-undang terbabit dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Pindaan itu mungkin akan menerima sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat bagi meluluskan pindaan kepada perlembagaan, yang juga sebahagian daripada memorandum persefahaman antara Putrajaya dan Pakatan Harapan (PH).

Rang undang-undang itu bertujuan untuk melaksanakan empat pindaan.

Pertama adalah untuk mentakrifkan semula maksud persekutuan dalam perlembagaan, daripada yang berpaksikan kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957, untuk memasukkan MA63 dan penyertaan Malaysia Timur dalam persekutuan itu.

Kedua, memulihkan Perkara 1(2) untuk mewujudkan perbezaan yang jelas bahawa persekutuan terdiri daripada dua blok, iaitu negeri-negeri semenanjung disebut semula "Tanah Melayu" (Malaya); dan negeri-negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Pindaan ketiga adalah untuk secara rasmi memaktubkan 16 Sept sebagai Hari Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan keempat ialah mengubah suai Perkara 161A untuk menghapuskan takrifan 'orang asal' Sarawak, dan memberi kuasa kepada Sarawak untuk menentukan siapa anak negeri itu.

Pada 2019, pentadbiran PH mencadangkan pindaan serupa kepada Perkara 1(2). Bagaimanapun, rang undang-undang ini tidak dapat diluluskan kerana tiada sokongan dua pertiga daripada ahli parlimen.

Ahli parlimen daripada BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkecuali daripada undi itu.

Desakan untuk meminda rang undang-undang itu bertepatan dengan pilihan raya Sarawak, di mana pengundian dijadualkan Sabtu ini.