Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Empat menteri, timbalan menteri isytihar aset luar negara

Empat menteri dan timbalan menteri mengisytiharkan harta masing-masing yang berada di luar negara kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Mereka ialah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin, Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Santhara Kumar dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Lim Ban Hong.

“Berdasarkan kepada kod etika bagi anggota pentadbiran dan ahli parlimen 2018, perisytiharan harta, perolehan harta tambahan dan pelupusan harta anggota pentadbiran dan ahli parlimen serta isteri atau suami, anak dan pemegang amanah mereka hendaklah dikemukakan kepada YAB perdana menteri dan disalinkan kepada ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya dalam jawapan bertulis yang dikeluarkan semalam.

Wan Junaidi berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang meminta perdana menteri menyatakan bilangan menteri dan timbalan menteri yang mempunyai akaun luar pesisir serta sama ada mereka wajib mengisytiharkan harta benda di luar Malaysia kepada SPRM.

Pada Julai 2019 lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua ahli parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing.

Usul dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dan disokong Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, diluluskan selepas dibahaskan 26 ahli parlimen pada waktu itu.

Selepas Vui Keong menggulung usul berkenaan, Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof, memaklumkan usul itu diluluskan sebulat suara tanpa sebarang bantahan termasuk daripada ahli parlimen pembangkang.