Pembangkang: Permit, had masa ceramah sukarkan kami, tapi tidak untuk GPS
PRN SARAWAK | Beberapa calon pembangkang merasakan peraturan-peraturan kempen yang ketat ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan diri mereka dalam keadaan yang sukar berbanding lawan mereka daripada gabungan pemerintah.
Antara peraturan tersebut adalah ceramah hanya dibenarkan di 64 DUN yang dianggap mempunyai capaian 4G yang kurang baik.
Antara kawasan yang mendapat kebenaran itu adalah DUN Tasik Biru, yang antara lain ditandingi Granda Aing daripada DAP.
Bercakap kepada Malaysiakini, Granda mengeluh kerana sering dinafikan untuk ke balai raya untuk aktiviti ceramah, yang merupakan satu-satunya tempat untuk kegiatan itu diadakan.
Ceramah di balai raya juga memerlukan permit daripada polis, selain penganjur perlu membuat ujian Covid-19, dan ada had masa dan jumlah hadirin.
“SOP ini bertujuan untuk merugikan kita pembangkang…mereka (calon GPS) menggunakan ketua masyarakat dan mereka menggunakan balai raya.
"Mereka boleh bawa masuk orang ramai, guna program (kerajaan) dan guna menteri buat majlis lebih 150 orang.
"Kita tidak boleh buat begitu. Kita hanya boleh buat (acara) di dalam rumah sahaja," dakwanya ketika ditemui selepas ceramah kepada penduduk kampung Bidayuh di Kampung Serasot pada Sabtu lalu.
Malaysiakini mendapati ceramah tersebut, yang diadakan di dalam kuarters rumah persendirian, terpaksa ditamatkan dalam tempoh dua jam walaupun ia bermula lewat daripada masa yang ditetapkan.
Malah, kerusi-kerusi sedia ada terpaksa dialihkan dari ruang separa terbuka yang sempit untuk membolehkan penjarakan fizikal. Mereka terpaksa membatalkan acara tersebut selepas menghantar bahan kempen dan makanan.
Sebelum program itu, Granda juga ke sebuah lagi kampung - Kampung Sebobok - untuk berkempen. Bagaimanapun polis yang mengiringi kumpulannya memberitahu dia tidak boleh bercakap kepada penduduk tanpa permit.
"Mereka kata kami perlukan permit. Kami sudah mohon tapi tak dapat," katanya.
Malaysiakini mendapati pasukannya terus beredar selepas menyerahkan makanan dan bahan kempen.
Malaysiakini juga sedang mendapatkan maklum balas dari SPR mengenai perkara ini.
Bagi calon PKR DUN Opar, Meneng Biris pula, dia memutuskan untuk tidak mengadakan ceramah atas sebab prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti mewajibkan ujian RTK-Antigen terhadap mereka yang hadir.
Meneng berkata ia memakan kos dan syarat untuk mereka memohon permit terlebih dahulu pula menyusahkan.
“Susah untuk tetapkan waktu acara yang akan diadakan kerana kadang-kadang hujan disebabkan musim tengkujuh,” kata ketua wanita PKR Mas Gading itu ketika ditemui di kampung kaum Bidayuh, Kampung Stenggang pada Ahad.
Malaysiakini mendapati Meneng perlu merentasi beberapa buah kampung berbeza untuk mengedarkan bahan kempen dan hanya berhenti untuk makan dan menyantuni orang ramai ketika dalam perjalanan.
Dengan kesukaran berkempen, Meneng berkata dia berharap pengundi di situ akan memilihnya berdasarkan usahaya sebelum ini menerusi NGO Persatuan Pertanian dan Penternakan Lundu Sematan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai