Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Edict dakwa intimidasi lepas gesa siasat tuduhan 'polis tak bertindak insiden cekik'

Polis telah memanggil NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) untuk membantu siasatan pihak berkuasa.

Ini berhubung kenyataan kumpulan hak asasi manusia itu baru-baru ini yang menggesa tindakan terhadap dua anggota polis yang didakwa menyaksikan insiden serangan yang telah menyebabkan kematian seorang lelaki di Ipoh, Perak, dua minggu lalu.

Pada satu kenyataan akhbar, Edict mengecam apa yang disifatkannya sebagai satu bentuk ugutan dan polis perlu berhenti menyiasat kritikan awam terhadap pasukan itu.

Ketika dihubungi, Pengarah Eksekutif Edict Khalid Mohd Ismath berkata tiga anggota polis dari balai polis daerah Ipoh awal hari ini pergi ke sebuah pejabat di Petaling Jaya, tempat NGO itu berkongsi alamat di premis milik satu kumpulan hak migran.

"Saya tidak ada di sana tetapi mereka datang sekitar jam 10.30 pagi. Saya rasa mereka mahu mengambil komputer riba dan telefon kami.

"Edict sebenarnya tidak mempunyai pejabat fizikal kami sendiri. Kami bekerja dari luar tetapi berkongsi alamat kumpulan lain," katanya kepada Malaysiakini.

Khalid berkata anggota polis dimaklumkan oleh pentadbir pejabat bahawa tiada sesiapa daripada Edict di premis itu dan mereka beredar selepas mengambil beberapa gambar.

Pengerusi Edict M Visvanathan sebelum ini membuat hantaran di Twitter mendakwa polis menyerbu pejabat Edict, membayangkan langkah itu tidak perlu dan boleh diselesaikan dengan panggilan telefon.

Khalid berkata dia akhirnya berjaya menghubungi pegawai penyiasat yang bertanggungjawab yang memaklumkan Edict telah dipanggil berhubung kenyataan akhbarnya pada 26 Nov.

Ia berkaitan tuduhan dua anggota polis gagal dalam menjalankan tugas mereka untuk menghalang insiden seorang lelaki didakwa mencekik seorang lagi sehingga maut.

Kenyataan itu dikeluarkan berdasarkan video tular mengenai kejadian yang didakwa.

“Polis berkata kenyataan kami mempunyai 16,000 pembaca. Saya terkejut. Itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Sebenarnya Edict menerima surat daripada polis dua minggu lalu tetapi kami hanya menerima notis 111 (Kanun Prosedur Jenayah) hari ini,” kata Khalid menjelaskan pihaknya akan hadir di balai polis Pantai, Kuala Lumpur, Rabu ini.

Menurut notis yang dilihat oleh Malaysiakini, polis Ipoh menerima laporan mengenai kenyataan itu pada 26 Nov - hari yang sama ia dikeluarkan - dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 505(b) untuk kenyataan yang membawa kepada kegentaran awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

[Baca berita asal]