Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tak benar SPRM cekup presiden Parti Bumi Kenyalang - Azam Baki

PRN SARAWAK | Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki menafikan pihaknya menangkap Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan di Kuching pagi tadi.

"Tidak benar. Beliau diminta hadir untuk dirakam percakapan," katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini.

Bagaimanapun, tidak jelas kenapa Voon dirakam percakapannya.

Terdahulu, Voon dipetik Utusan Malaysia mendakwa pegawai SPRM menahannya ketika dia memandu kereta.

“Saya ada dalam kereta, tiba-tiba ada kereta mengekori dan menghentikan saya. Mereka rampas kunci kereta saya dan cuba menahan saya.

“Saya tak tahu saya ditahan atas sebab apa, tapi mereka tak boleh macam ini, ini salah,” dakwanya.

Voon berkata demikian ketika dia menghubungi wartawan Utusan Malaysia pagi tadi tetapi tiada jawapan apabila dia cuba dihubungi sekali lagi setengah jam kemudian.

"Hanya kedengaran peti suara," kata laporan itu lagi.

PBK pada pilihan raya negeri kali ini membariskan 73 calon. Dalam manifesto PBK, parti itu antaranya berjanji untuk mencari jalan supaya Sarawak keluar dari Malaysia secara aman, sama seperti Singapura.

PBK telah pun memfailkan saman terhadap kerajaan Sarawak, Malaysia dan United Kingdom memohon pengisytiharan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 adalah tidak sah.

Selain itu, PBK juga menjanjikan "dana bantuan kesusahan khas" sebanyak RM3,000 kepada pengundi Sarawak jika mereka menang pilihan raya negeri Sabtu depan.

Bagaimanapun, bayaran hanya terhad kepada mereka yang benar-benar mengundi semasa pilihan raya ini.