Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kenapa pusat serah isu lesen minuman keras pada negeri, soal Lim

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan persekutuan mesti menjelaskan tindakannya dalam menyerahkan tanggungjawab kepada kerajaan negeri mengenai syarat pelesenan minuman keras untuk kedai kopi dan restoran.

Ini selepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan kerajaan pusat tidak mempunyai bidang kuasa berhubung perkara itu dan terpulang kepada kerajaan negeri untuk membuat keputusan.

Bagaimanapun, Lim menegaskan negeri-negeri tidak mengenakan syarat pelesenan RM1,300 sebelum ini kerana kerajaan persekutuan telah memutuskan untuk tidak menguatkuasakannya.

“Sebelum ini, penguatkuasaan pelesenan ini tidak dikuatkuasakan kepada kerajaan negeri masing-masing tetapi ditangguhkan melalui arahan Jabatan Kastam pada 20 Sept 1993.

“Kedai kopi dan pengusaha restoran di seluruh negara tidak mempunyai masalah semasa saya menjadi menteri kewangan kerana saya meneruskan penangguhan ini.

"Dengan kata lain, bukan sahaja kedai kopi dan restoran tidak perlu memohon lesen untuk menjual arak tetapi pihak berkuasa pelesenan negeri masing-masing tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan sekiranya untuk mengenakan lesen itu," kata Lim dalam satu kenyataan.

Lim berkata demikian selepas presiden MCA Wee Ka Siong membidas ahli parlimen Bagan itu, dengan mendakwa Lim mengeruhkan isu tersebut walaupun ia telah selesai.

"Guan Eng nak apa sebenarnya? Isu pokoknya ialah, Jabatan Kastam menyatakan pada 16 Ogos 2021 lalu bahawa mereka akan mula mewajibkan kedai kopi dan restoran untuk membayar RM1,300 bagi tujuan penjualan bir dan minuman beralkohol.

“Namun, DAP memperbesarkan isu ini yang dilihat semata-mata mahu menghasut orang bukan Melayu. Sekarang, Jabatan Kastam telah pun mengeluarkan surat yang menyatakan bahawa mereka akan membatalkan keputusan tersebut dan tidak akan meneruskan keperluan ini.

“Tapi kamu masih tidak berpuas hati dengan menuduh saya berbohong kerana syarat keperluan yang dikenakan sejak berpuluh tahun ini tidak dibatalkan secara muktamad,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Pada 7 Dis, Wee menerusi hantaran di Facebooknya, memaklumkan bahawa Zafrul telah mengarahkan Jabatan Kastam untuk membatalkan dasar baharu pelesenan minuman keras untuk restoran dan kedai kopi.

Bagaimanapun, kekeliruan timbul selepas Zafrul memberitahu Dewan Rakyat bahawa tiada pembatalan kerana kuasa pelesenan kekal pada negeri masing-masing.

Wee berkongsi surat daripada Jabatan Kastam memaklumkan pihak berkuasa negeri bahawa mereka tidak perlu lagi melaksanakan syarat pelesenan minuman keras di kedai kopi dan restoran.

Wee berkata perkara ini sama seperti tindakan Lim yang tidak membatalkan syarat pelesenan arak semasa menyandang jawatan menteri kewangan dan hanya meneruskan penangguhan itu.

Bagaimanapun, Lim menyoal jika kerajaan negeri kini akan melaksanakan syarat pelesenan itu sendiri tanpa penarikan semula, seperti kenyataan Zafrul.