Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mara gantung enam pelajar terbabit kes buli

Majlis Amanah Rakyat (Mara) menggantung serta-merta persekolahan selama dua minggu terhadap enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) terbabit kes buli yang tular di media sosial.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Mahdzir Khalid berkata, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) turut mencadangkan agar pelajar itu ditamat pengajian mereka.

"JDM MRSM telah pun memanggil 10 pelajar yang terlibat dengan insiden berkenaan.

"Dalam laporan yang disediakan, enam pelajar terlibat memukul mangsa buli berkenaan, manakala empat pelajar yang berada di lokasi kejadian telah didapati bersubahat dan membuat provokasi.

"Pelajar-pelajar ini berada di tingkatan satu hingga tingkatan tiga," katanya pada sidang media di Padang Terap, hari ini.

Mahdzir berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Wanita Umno bahagian Padang Terap.

Semalam, polis menahan enam suspek kes buli didakwa berlaku di MRSM Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, seperti yang tular di media sosial semalam.

Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kesemua suspek berusia 13 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan berkaitan kes berkenaan kira-kira 6 petang.

"Setakat ini enam pelajar telah ditahan semalam dan mereka masih berada dalam tahanan sehingga kini," katanya.

Tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai, tular di media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat dan menerima kecaman orang ramai.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam satu hingga dua pagi pada 9 Dis melibatkan tujuh suspek remaja dan seorang mangsa yang kesemuanya berusia 13 tahun

Dalam pada itu, Mahdzir menegaskan pihaknya mengambil serius kejadian buli membabitkan pelajar di institusi pendidikan bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu dan tindakan sewajarnya akan diambil.

Ditanya mengenai siasatan pihak polis terhadap kes berkenaan, Mahdzir berkata pihaknya tidak mencampuri urusan siasatan dan menyerahkan kepada pihak polis.

"Mara mengambil tindakan penggantungan itu berdasarkan siasatan dalaman dan mengikut peruntukan hukuman yang telah ditetapkan JDM.

"Malang bagi MRSM yang mempunyai pelajar-pelajar yang pandai, dipanggil temuduga sebagai saringan, kualiti pendidikan, ko-kurikulum dan jatidiri mereka diambil kira untuk kemasukan ke MRSM.

"Tetapi masih juga berlaku lagi kejadian seumpama itu, jadi saya rasa amat kecewa kerana mereka tidak sepatutnya terdedah dengan perbuatan itu," katanya.