Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan dibidas amal 'dwistandard' pada acara dihadiri PM

Kerajaan dibidas berikutan dakwaan mengamalkan dwistandard selepas penganjur program 100 Hari Keluarga Malaysia hanya dikenakan kompaun RM1,000 kerana gagal melaksanakan penjarakan fizikal.

Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi menyifatkan jumlah kompaun berkenaan sebagai "jenaka terhebat tahun ini".

“Adakah kerajaan menganggap rakyat bodoh?

"Mengapa kompaun itu begitu ringan dan tidak munasabah berbanding kompaun yang dikenakan kepada penganjur program politik semasa pilihan raya Melaka?" soalnya ketika dihubungi.

Pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, sembilan kompaun berjumlah RM120,000 dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Nilai kompaun yang dikeluarkan semasa tempoh berkempen adalah antara RM4,000 kepada individu sehingga RM20,000 untuk penganjur.

Pada masa itu, kompaun di bawah Akta 342 dinaikkan berikutan pelaksanaan ordinan darurat, yang hanya dimansuhkan sepenuhnya pada 8 Dis.

Justeru, apabila Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob melancarkan program 100 Hari Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis lalu (9 Dis), denda maksimum di bawah Akta 342 dikembalikan kepada RM1,000.

Bagaimanapun, pengkritik di media sosial membandingkan acara itu - yang sesak dengan kehadiran orang ramai - dengan acara berasingan di bandar yang sama pada hari yang sama.

Serbuan di kelab malam

Lewat malam Khamis lalu, polis Kuala Lumpur menyerbu sebuah pusat hiburan dan mengeluarkan kompaun berjumlah RM220,000 kepada 44 pengunjung dengan purata RM5,000 setiap seorang.

Pemiliknya turut dikenakan kompaun bernilai RM25,000.

The Vibes memetik ketua jabatan pencegahan jenayah dan keselamatan komuniti Kuala Lumpur, Azman Ayob sebagai berkata kompaun itu juga dikeluarkan di bawah Akta 342.

Tidak jelas sama ada pelanggan dan pemilik dikompaun atas pelbagai kesalahan yang menyebabkan mereka perlu membayar kompaun RM1,000 setiap seorang, atau mengikut had yang dinaikkan mengikut ordinan darurat - yang  dimansuhkan sehari sebelumnya.

Bagaimanapun, ia menimbulkan persoalan sama ada penganjur program yang dihadiri perdana menteri sepatutnya dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan atau lebih ramai individu sepatutnya didenda.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, yang didenda RM3,000 di bawah Akta 342 atas tiga kesalahan semasa berarak ke parlimen pada Ogos lalu percaya perkara itulah yang sepatutnya dilakukan.

"Anda boleh melihat semua peraturan yang dilanggar oleh penganjur (dan keluarkan beberapa kompaun).

“Selain itu, para pengunjung (pada program 100 hari) juga patut dikenakan pelbagai kompaun,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Operasi Muda, Dr Mathen Nair berkata kompaun RM1,000 yang dikeluarkan kerajaan kepada penganjur acara kerajaan adalah jelas menunjukkan dwi standard.

Ini katanya, menunjukkan contoh buruk kepada orang ramai dalam mematuhi SOP pencegahan Covid-19.

"Ini menjadi salah satu halangan terbesar bagi pematuhan SOP sejak permulaan wabak - dwi standard mengenai pematuhan dan kedaulatan undang-undang.

"Pemimpin gagal untuk memimpin melalui teladan. Ramai yang tidak dihukum atau diberi kompaun kecil berbanding rakyat biasa," kata Mathen.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, Ismail sepatutnya melakukan sesuatu apabila melihat SOP dilanggar pada acara itu.

"Sekiranya dia serius dengan pematuhan SOP, dia sepatutnya keluar dari acara dan tak menyokong acara itu sebaik sahaja dia sendiri melihat pelanggaran itu," katanya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin - yang turut menghadiri program berkenaan sebelum ini melahirkan rasa kesal atas ketiadaan pelaksanaan penjarakan fizikal.