Sarjan polis didakwa beri keterangan palsu di mahkamah
Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas pertuduhan memberi keterangan palsu di mahkamah pada April lalu.
Mohd Fauzi Zahari, 40, didakwa melakukan perbuatan itu semasa menjadi saksi pendakwaan dalam kes perbicaraan rasuah dan peras ugut melibatkan tujuh anggota dan pegawai polis marin di Mahkamah Sesyen Dua Kuantan pada 26 April lepas.
Dia dituduh memberikan tiga keterangan yang tidak selaras dengan kenyataannya kepada seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat SPRM Pahang pada 1 Feb 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM Kamariah Seman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam bela Amirul Ridzuan Hanif memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi komitmen baik sepanjang siasatan selain perlu menanggung ibu, isteri dan tiga anak masih bersekolah.
Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.
Mahkamah menetapkan 14 Feb depan untuk sebutan semula kes.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai