Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kes permohonan poligami Khalid Samad: Isteri fail pembelaan

Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam membenarkan isteri pemimpin Amanah, Dr Zaitun Abu Bakar untuk memfailkan pembelaan dan tuntutan balas terhadap permohonan poligami suaminya itu, Khalid Abdul Samad.

Sinar Harian melaporkan Mahkamah Tinggi Syariah menetapkan 20 Disember depan bagi sebutan semula kes.

Ini termasuk kemungkinan memutuskan permohonan poligami ahli parlimen Shah Alam itu sekiranya kedua-dua pihak mencapai persetujuan secara bersama.

Pendaftar Mahkamah, Norbyetty Mohd Nasir dilapor memberikan kebenaran selepas permohonan berkenaan difailkan pada Rabu oleh dua peguam yang mewakili Zaitun, Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Nurfarhana Abd Manaf.

Kes tuntutan poligami Khalid dan isterinya difailkan pada 25 November lalu.

Dilaporkan Khalid didakwa merancang melangsungkan pernikahan keduanya pada hujung tahun ini.

Pun begitu, selepas Zaiton bertemu peguam hari ini, Khalid dan isterinya itu dilaporkan berjalan bersama-sama menuju ke tempat letak kenderaan di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah.

Malaysiakini telah menghubungi ahli parlimen Shah Alam itu bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini namun masih belum mendapat maklum balas lanjut.