Persenda OKU: Polis kesan dua lelaki, dua wanita
Polis sedang mengesan dua wanita dan dua lelaki dipercayai terlibat dengan dua video berasingan mempersendakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata ia susulan satu laporan polis dibuat seorang wanita berhubung tindakan mereka yang turut dipercayai menyalahgunakan kemudahan OKU di dalam video itu.
Beliau berkata video pertama dimuat naik, telah dilakonkan oleh dua lelaki yang berlagak sebagai OKU dan mempersendakan tempat letak kereta OKU di sebuah pusat beli belah di ibu kota.
“Mereka juga didapati mengajuk perbuatan OKU selepas berjaya meletakkan kenderaan mereka di tempat letak kereta di situ.
"Sementara satu lagi video memaparkan dua wanita telah menyalahgunakan tandas OKU di sebuah stesen minyak. Mereka juga bertindak mengajuk perbuatan seolah-olah mereka adalah OKU fizikal yang tempang," katanya dalam kenyataan semalam.
Beh berkata pengadu yang membuat laporan polis beranggapan kesemua individu tersebut telah menghina golongan OKU di negara ini serta secara terang-terangan dan tanpa rasa bersalah menggunakan warga OKU sebagai bahan bagi menarik perhatian pengguna di media sosial.
Beliau berkata kes terbabit diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia kerana kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan penggunaan media sosial secara tidak wajar.
Terdahulu, Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi hari ini membuat laporan polis terhadap beberapa individu yang menyalahgunakan kemudahan yang dikhaskan untuk golongan OKU.
Beliau tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini pada kira-kira 1.20 tengah hari dan selesai membuat laporan berkenaan pada 2.40 petang.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai