Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ali Biju tarik diri: Pengajaran buat ahli politik tak berprinsip, kata Saifuddin

Tindakan Ali Biju yang mengumumkan menarik diri daripada PRN Sarawak adalah satu pengajaran buat ahli politik yang tidak berprinsip, menurut Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata, Ali yang tidak dapat mempertahankan kerusi DUN Krian yang dipegangnya sejak 2011 akan menjadi pengajaran kepada pemimpin yang “mengkhianati parti dan kepercayaan pengundi".

Ali, yang juga ahli parlimen Seratok, adalah antara pemimpin PKR yang keluar parti ketika langkah Sheraton pada Februari 2020. Dia kemudiannya menyertai Bersatu.

"Saya tidak terkejut dengan tindakan Ali. Orang yang pernah ada rekod khianat parti yang berjasa kepadanya, tidak akan rasa bersalah untuk khianati rakyat.

"Ini juga pengajaran kepada ahli politik yang tidak ada prinsip membela rakyat dan hanya mementingkan diri sendiri," katanya kepada Malaysiakini.

Hari ini Ali membuat pengumuman untuk menarik diri daripada bertanding dalam PRN Sarawak dan menggesa penyokongnya agar mengundi calon GPS, Friday Belik.

Pada hari penamaan calon pada 6 Dis lalu, Ali mendaftarkan diri sebagai calon bebas selepas partinya tidak menyertai PRN kali ini.

Ali berkata pengumuman hari ini setelah dia mengadakan perjumpaan dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Saifuddin mengecam tindakan Ali menarik diri setelah menawarkan diri sebagai calon bebas.

"Ali jelas mempermainkan demokrasi dan memperlekeh kebijaksanaan rakyat dan pengundinya.

"Menukar parti dan mengubah pendirian macam bertukar baju," katanya lagi.