Datuk Seri didakwa tipu permohonan permit pekerja asing
Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang berdepan pertuduhan rasuah pada Mac lalu, didakwa lagi di Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas pertuduhan penipuan permohonan permit pekerja asing.
Mohammed Al Faizal Mohammed, 45, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan majistret Nur Hafizah Rajuni.
Mohammed Al Faizal didakwa memperdaya seorang lelaki berusia 56 tahun agar memindahkan wang RM115,100 ke akaun Bank RHB milik tertuduh untuk tujuan permohonan permit pekerja asing, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu jika tidak diperdayakan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Rawang antara 17 Julai 2020 dan 19 Jan 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, timbalan pendakwa raya Anis Farhah Ahmad Hilmi menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia perlu menanggung empat anak yang masih belajar selain merupakan penanggung tunggal keluarga.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Feb 2022 untuk sebutan semula kes.
Pada 18 Mac lepas, Mohammed Al Faizal didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM176,000 sebagai dorongan untuk membantu melepaskan 22 warga China dari tahanan Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.
Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 23 Mac lepas atas pertuduhan meminta suapan berjumlah RM300,000 bagi membantu melepaskan 22 warga China dari tahanan pihak berkuasa sama.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai