Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis Kelantan tahan wanita peragut sasarkan warga emas

Selepas beberapa bulan dipercayai menyamun warga emas, kegiatan seorang wanita berusia 27 tahun akhirnya tumpas apabila dia ditahan polis dalam Op Cantas pada 4 Dis lepas.

Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata wanita terbabit ditahan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Jenerak dekat Tawang, Bachok dan kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

"Berdasarkan laporan, modus operandi suspek ialah menunggang motosikal sambil membawa seorang kanak-kanak berusia sekitar tiga tahun bersamanya.

"Dia menyasarkan mangsa daripada golongan warga emas yang tinggal berseorangan di rumah.

“Suspek kebiasaannya berpura-pura meminta bantuan wang sebanyak RM50 daripada mangsa dengan alasan untuk membeli susu anaknya sebelum meragut rantai atau cincin mangsa dan melarikan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shafien berkata polis turut merampas sebuah motosikal Yamaha Ego S berwarna putih, satu rangkai anak kunci motosikal dan topi keledar putih.

- Bernama