'Nama masuk dalam daftar pemilih sebulan selepas capai 18 tahun'
Warga Malaysia yang mencapai usia 18 tahun akan disenaraikan dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebulan selepas hari lahir mereka.
Ini berdasarkan pembentangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika sesi libat urus dengan ahli parlimen hari ini.
Menurut dokumen berkenaan soalan lazim yang dilihat Malaysiakini, warga yang mencapai usia 18 tahun layak mengundi selepas SPR memperaku dan mewartakan daftar pemilih tambahan.
“Proses pendaftaran pemilih secara automatik ini akan mengambil masa sehingga sebulan setengah dari hari individu berkenaan mencapai umur 18 tahun.”
Menurut pembentangan Wan Junaidi, SPR merancang untuk mewarta daftar pemilih tambahan terbaru pada 16 haribulan setiap bulan.
Ini bermakna individu yang mencapai usia 18 tahun pada Januari akan didaftarkan sebagai pengundi paling lewat 16 Februari.
Tak akan didaftar jika alamat tak lengkap
Menurut Wan Junaidi, SPR akan merujuk alamat terbaru pengundi di sistem Jabatan pendaftaran Negara (JPN) untuk menentukan kawasan mengundi mereka.
Namun mereka yang mempunyai alamat umum atau tidak lengkap dalam sistem itu tidak akan didaftarkan.
Bagi penjawat awam dan anggota keselamatan yang layak didaftar sebagai pengundi tidak hadir, mereka perlu menghantar permohonan kepada SPR untuk menukar status mereka.
Sebanyak 5.8 juta pengundi baru dijangka akan didaftarkan apabila Undi 18 dan pendaftaran automatik berkuat kuasa pada 15 Disember ini, termasuk 1.2 juta yang berusia antara 18 hingga 20 tahun.
Dalam kenyataan media hari ini, Wan Junaidi berkata jumlah pengundi baru itu bersamaan peningkatan 40 peratus bagi pengundi berdaftar, iaitu daripada 15.8 juta kepada 21.1 juta.
“Malah bilangan pengundi berdaftar dijangka meningkat setiap bulan,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai