Jerebu: NGO tuntut Suhakam tubuh inkuiri awam
Gabungan pertubuhan aktivis alam sekitar hari ini memfailkan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), meminta campur tangan untuk menghentikan masalah jerebu di negara ini.
Digelar sebagai Gabungan Bertindak Anti Jerebu (Cerah), kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata hak rakyat untuk udara bersih mesti dilindungi dan mahu Suhakam mengadakan siasatan awam mengenai tadbir urus pencemaran jerebu domestik dan rentas sempadan.
"Sebagai aduan pertama yang difailkan di Malaysia untuk menggabungkan isu alam sekitar dengan hak asasi manusia, Gabungan Bertindak Anti Jerebu (Cerah) menyokong siasatan awam mengenai jurang dalam tadbir urus pencemaran jerebu domestik dan rentas sempadan dengan matlamat yang dicita-citakan untuk mendapatkan penyelesaian sistemik bagi mengatasi pencemaran jerebu dan melindungi hak kita terhadap udara bersih.
“Selain memperkukuh hak komuniti terjejas akibat jerebu, aduan ini juga mengesyorkan pengukuhan undang-undang dan peraturan alam sekitar domestik, serta memperkukuh amalan hak asasi manusia dalam perniagaan berdasarkan rangka kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata kenyataan itu.
Gabungan itu dianggotai lebih 10 kumpulan antaranya Cerah Anti Jerebu, Greenpeace Malaysia, Sahabat Alam Malaysia, Hentikan Pembakaran Terbuka di Johan Setia, Klima Action Malaysia, Peka, Suaram, Pusat Alam Sekitar Global, Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera, Persatuan Pelindung Alam Sekitar, Jaringan Ekologi Dan Iklim dan Undi18-MyHutan.
Menurut aduan gabungan itu yang dilihat Malaysiakini, mereka mendakwa pemimpin Asean telah menggunakan perkataan 'jerebu' untuk memberi tanggapan salah seolah-olah pencemaran akibat kegiatan manusia itu sebagai fenomena semula jadi.
Pencemaran jerebu di rantau ini berpunca terutamanya oleh salah satu daripada dua sumber ini: pembakaran untuk membersihkan tanah bagi tujuan pertanian dan sumber bukan pertanian, termasuk pengangkutan dan pembakaran industri dan biojisim.
Gabungan itu mendakwa terdapat jurang dalam rangka kerja perundangan Malaysia yang perlu ditangani untuk menyelesaikan masalah jerebu.
"Kami berharap Suhakam akan mengadakan siasatan awam untuk menyiasat jurang ini. Sebagai permulaan, berikut adalah antara perkara paling lazim yang kami perhatikan.
"Jurang ini mesti dipertimbangkan dalam konteks sistem naungan yang mengakar dan menguasai rangka kerja institusi, struktur pasaran, budaya perniagaan dan kesedaran awam.
"Oleh itu, komponen kritikal untuk mengatasi jurang ini, yang kami sebutkan dalam aduan tersebut, harus digunakan dengan tuntas untuk mendemokrasikan akauntabiliti undang-undang supaya kami mengukuhkan kedaulatan undang-undang, perlindungan serta penghormatan hak asasi manusia oleh kerajaan Malaysia dan swasta," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai