Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dr M: Malaysia tak perlu projek HSR KL-Singapura dihidup semula sekarang

Tidak ada keperluan untuk Malaysia menghidupkan semula projek mega Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang telah dibatalkan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Pada sidang media maya menjelang pelancaran buku memoir terbarunya, bekas perdana menteri itu menyifatkan tindakan menghidupkan semula HSR sebagai kembalinya politik rasuah.

"Saya pernah mempertimbangkan projek HSR pada zaman saya. Tetapi jika ingin mempopularkan kereta api berkelajuan tinggi, ia mesti meliputi jarak yang lebih jauh. Penjimatan masa perjalanan adalah minimum apabila kita mempunyai rel yang lebih pendek," katanya.

Kata Mahathir, mungkin lebih sesuai jika HSR diperluaskan ke wilayah utara, iaitu Pulau Pinang, Alor Setar dan sempadan Thai.

Namun, dia menambah bahawa ia bukan sesuatu yang mampu ditanggung negara ketika ini.

"Rakyat di Malaysia menggunakan kereta dan bukannya kereta api (untuk perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura)," katanya.

"Kita tidak memerlukannya sekarang. Apabila anda ingin melakukan sesuatu, anda perlu mengambil kira kebergunaan apa yang anda mahu lakukan berbanding keperluan negara. Jika anda mendapati negara masih belum memerlukannya, maka anda jangan buat,” tambah Mahathir.

Apabila ditanya sama ada kebangkitan semula projek HSR adalah kebangkitan politik rasuah, Mahathir berkata: "Memang betul."

Dia menyamakannya dengan cara pengundi dari latar belakang miskin bertindak balas terhadap pembelian undi semasa pilihan raya di mana pengundi berasa bertanggungjawab menyokong parti yang menawarkan rasuah kepada mereka, yang disampaikan dalam bentuk pemberian wang tunai atau pengangkutan awam percuma ke pusat mengundi.

"Apabila orang miskin ditawarkan banyak wang, amat sukar bagi mereka untuk mengatakan tidak. Mereka merasakan mereka harus menyokong orang yang memberi mereka wang," tambah Mahathir.

Dilaporkan sebelum ini bahawa Ismail Sabri mencadangkan HSR dihidupkan semula walaupun pendahulunya Muhyiddin Yassin menamatkan projek itu dengan kos RM320 juta. Singapura terbuka kepada cadangan baru daripada Malaysia.

Perjanjian HSR KL-Singapura telah luput pada 31 Dis 2020. Malaysia membayar sejumlah SG$102.8 juta (RM320.07 juta) kepada Singapura sebagai pampasan bagi pembatalan projek itu.

Pada masa itu, kerajaan Muhyiddin berkata model yang dicadangkan itu akan menjadi terlalu mahal di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Bekas perdana menteri Najib Razak mencadangkan pada September untuk menghidupkan semula HSR, yang dilancarkannya pada 2016.