Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Puad: Sanusi MB Kedah paling loklak - dulu, kini dan selamanya


  • Dikemas kini dengan tambahan komen Puad.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi hari ini mengkritik tingkah laku Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang disifatkan sebagai menteri besar yang paling “loklak.”

Berdasarkan loghat Utara, “loklak” bermaksud tidak beradab.

“Baik lagi KM (ketua menteri) Pulau Pinang dari MB Kedah. Ramai kata, dulu, kini dan selamanya MB paling ‘loklak’ ialah MB Kedah sekarang.

“Bahasanya, sikapnya dan tingkah lakunya semua loklak. Tak padan dengan nama partinya PAS. Kaki gaduh,” tulis Puad di Facebooknya.

Ketika diminta penjelasan, Puad memberitahu Malaysiakini bahawa hantaran itu berkenaan sindiran presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) itu terhadap Tunku Ismail yang juga presiden pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), selepas kekalahan JDT di tangan KL City FC minggu lalu.

“Dia sindir JDT sebab kalah Piala Malaysia. Sebagai MB dia patut ada semangat kesukanan dan memberi semangat.

“Bukan menyindir senarai mata dia ada masalah dengan TMJ. Tidak sesuai sikap begitu.

 “Saya puji KM Pulau Pinang sebab dia sopan dari segi budi bahasa walaupun dia adalah lawan dalam politik. Sebab itu dia lebih baik dari MB Kedah,” kata Puad.Meskipun begitu, rata-rata daripada warganet meninggalkan komen yang mengaitkan “perang” media sosial antara Sanusi dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sebelum ini saling berbalas kenyataan berhubung bola sepak.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim 

Sebelum isu, Sanusi juga menimbulkan beberapa kontroversi kerana pernah mengeluarkan kenyataan mengaitkan kegiatan judi nombor ekor dengan Pulau Pinang.

Kenyataan itu bagaimanapun ditegur oleh Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor. Dia memohon maaf dan menjelaskan ia bukan bermaksud untuk menghina Pulau Pinang.

Awal tahun ini pula, terdapat perbalahan antara Sanusi dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow apabila Sanusi dilaporkan tidak menolak kemungkinan membawa isu tuntutan bayaran caj air mentah terhadap Pulau Pinang ke mahkamah jika masalah itu tidak selesai.