Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Soal hidup mati': MP dakwa Pharmaniaga kaut untung jual vaksin Sinovac

PARLIMEN | Teo Nie Ching (PH – Kulai) menuduh Pharmaniaga Berhad mengaut keuntungan daripada penjualan vaksin Covid-19 Sinovac dengan mengenakan harga dua kali ganda kepada kerajaan negeri dan pasaran swasta berbanding harga yang dibeli oleh kerajaan persekutuan.

Dia juga mempersoalkan kerajaan kerana gagal bertindak terhadap tingkah laku Pharmaniaga, yang menurutnya tidak adil.

Menurut Teo, Pharmaniaga menjual vaksin itu pada harga AS$30 (RM126.90) untuk dua dos kepada kerajaan pusat, tetapi siri vaksin yang sama dijual pada harga RM300 kepada kerajaan negeri dan pasaran swasta.

"Saya hendak memetik apa yang dinyatakan (Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin) dalam prosiding PAC... bahawa perolehan vaksin adalah isu hidup dan mati. Ini adalah perkataan beliau sendiri...

"Saya tidak ada masalah untuk Pharmaniaga mendapatkan keuntungan tetapi keuntungan itu mestilah munasabah dan kita tidak boleh mengizinkan Pharmaniaga untuk mendapat keuntungan yang melampau. 

"Kerana pada zaman sekarang vaksin adalah perubatan yang diperlukan oleh semua orang," katanya pada perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2022 Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat hari ini.


Timbalan Menteri Kesihatan I Dr Noor Azmi Ghazali (PN – Bagan Serai), yang pada masa itu menjawab soalan ahli parlimen, tidak sempat menjawab soalan Teo sebelum masa perbahasan tamat.

Dia berjanji akan memberikan jawapan bertulis kepada soalan yang tidak dapat ditanganinya semasa perbahasan hari ini.

Malaysiakini juga telah menghubungi Pharmaniaga untuk mendapatkan maklum balas.

Pharmaniaga ialah pemegang lesen tempatan untuk vaksin Sinovac. Ia memegang hak eksklusif untuk mengimport vaksin siap Sinovac dari China, dan juga mengimport produk pukal untuk dibotolkan di kemudahannya di Puchong.

Syarikat itu dikawal oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) – badan berkanun yang menguruskan pencen anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Sementara itu, Teo turut menyentuh kegagalan kerajaan mengenakan harga siling penjualan vaksin itu di pasaran swasta, walaupun pada awalnya berjanji untuk berbuat demikian.

Memetik transkrip laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai perolehan vaksin Malaysia, Teo berkata Pharmaniaga telah mencadangkan harga siling RM130 bagi setiap dos dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberitahu PAC bahawa dia merasakan harga itu masih tinggi.

"Tetapi sampailah ke hari ini walaupun menteri kesihatan telah membuat pengumuman bahawa satu harga siling akan ditetapkan.

"Pengumuman itu dibuat pada bulan Julai tetapi sampai sekarang bulan Disember kita masih tidak tahu berapa harga siling untuk vaksin Sinovac lagi," katanya.

Jelas Teo, kerajaan sehingga kini terus membenarkan Pharmaniaga menjual vaksin SInovac pada harga RM150.

Bagi premium yang dibayar kerajaan atas kelewatan Pharmaniaga dalam penghantaran vaksin, Teo berkata perbezaan itu sepatutnya ditanggung oleh Pharmaniaga kerana ia tanggungjawab kontraknya untuk membekalkan vaksin kepada kerajaan.

Menurut laporan PAC, kerajaan telah membuat perolehan beberapa dos vaksin Sinovac pada premium 16.78 hingga 18.12 peratus, disebabkan kelewatan penghantaran vaksin antara April dan Jun.

Menjawab laporan itu, Pharmaniaga berkata kerajaan yang memutuskan untuk mengimport produk siap yang lebih mahal untuk mempercepatkan kelancaran vaksinasi di Malaysia.

Pharmaniaga juga berkata kewajipan awalnya adalah untuk membekalkan 12 juta dos vaksin yang disediakan dari kemudahan Puchongnya, sedangkan pada hakikatnya, kerajaan telah meminta Pharmaniaga membekalkan kedua-dua vaksin yang telah siap dari China serta vaksin yang siap di Puchong.

“Kami ingin menjelaskan bahawa Pharmaniaga melengkapkan jadual dalam kontrak bekalan 12 juta dosnya, empat bulan lebih awal dari tempohnya dan Kerajaan Malaysia membayar harga yang lebih tinggi sedikit untuk pesanan tambahan vaksin Sinovac Covid-19 siap dari China bagi mempercepatkan program imunisasi kebangsaan Covid-19.

“Dengan peningkatan kes jangkitan Covid-19 pada bulan Mei, menyokong inisiatif kerajaan dalam mencapai imuniti kelompok lebih cepat daripada yang dirancang dapat dicapai kerana Pharmaniaga mempunyai akses kepada vaksin siap Sinovac yang disediakan dari China.

“Sekali lagi, kumpulan ini ingin mengulangi bahawa Pharmaniaga sangat konsisten dengan komitmennya kepada kerajaan dalam memenuhi bekalan vaksin Sinovac yang disediakan oleh Pharmaniaga Life Sciences, dan selanjutnya menyokong Kementerian Kesihatan, yang seterusnya, (mampu menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam menguruskan wabak),” kata syarikat itu dalam laporan The Edge pada 2 Dis.