Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tindakan Ali Biju tak selari keputusan Bersatu, kata Faizal

PRN SARAWAK | Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata bahawa partinya tidak menyokong tindakan Ali Biju mempertahankan kerusi DUN Krian yang disandangnya sebagai calon bebas di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

"Tindakan Ali Biju tidak selari dengan keputusan parti.

"Perikatan Nasional (PN) menyokong GPS dalam PRN Sarawak dan tidak meletakkan calon di semua kerusi," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Faizal tidak menjelaskan adakah Ali akan diambil tindakan disiplin kerana melanggar keputusan parti.

Terdahulu, menteri belia dan sukan itu diminta mengulas laporan bahawa Ali sedia untuk mempertahankan DUN Krian sebagai calon bebas yang dipegangnya selama dua penggal.

Ia selepas Bersatu memutuskan untuk tidak bertanding dalam PRN kali ini.

Ali kini memegang jawatan timbalan menteri tenaga dan sumber asli merupakan bekas pemimpin PKR sebelum keluar daripada parti itu dan menyertai Bersatu yang merupakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Faizal berkata bahawa partinya tetap dengan keputusan Presidennya Muhyiddin Yassin yang sebelum ini mengumumkan gabungan itu tidak akan menyertai PRN Sarawak bagi menghormati kehendak kepimpinan GPS.

"Saya mendoakan GPS akan diterima oleh para pemilih dan akan berjaya menubuhkan kerajaan di negeri Sarawak untuk meneruskan pembangunan demi kepentingan rakyat," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata bahawa parti tidak membenarkan ahli bertanding dalam pilihan raya tanpa kebenaran.

"Tindakan tatatertib boleh diambil termasuk dipecat. Peraturan ini terpakai kepada Sarawak dan parti akan membuat pengumuman tidak lama lagi," katanya dalam kenyataan media hari ini tanpa menamakan Ali.

Dia menegaskan ahli Bersatu telah diarahkan oleh presiden parti untuk berkempen bagi sekutu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya dewan undangan Sarawak.