Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SUPP terkejut 2 kerusi tradisi diberi pada rakan komponen GPS

PRN SARAWAK | Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dr Sim Kui Hian berkata dia terkejut dengan pengumuman bahawa dua kerusi tradisi parti itu akan ditandingi parti komponen lain dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bagaimanapun Dr Sim berkata, pihaknya menerima keputusan pimpinan tertinggi GPS dengan hati terbuka.

Dua kerusi itu ialah Dudong dan Mambong.

"Memang mengejutkan apa yang berlaku dalam tempoh 24 jam semalam kerana sebelum itu memang kami menjangka akan untuk terus bertanding di 20 kerusi tradisi.

"Namun itu keputusan pucuk pimpinan GPS dan kami menerimanya dan bersedia untuk bergerak bersama demi memastikan kemenangan pada PRN-12," katanya seperti dilapor Harian Metro.

Ketika ditanya sama ada dia akan turun padang membantu dua calon GPS di kawasan itu, Dr Sim berkata, dia akan berbuat demikian jika ada kesempatan.

"Tetapi kita harus mengutamakan 'rumah sendiri' (kawasan sendiri) dulu sebelum ke rumah orang lain.

"Saya akan mempertahankan kerusi Batu Kawa dan harus memberi tumpuan sepenuhnya di kawasan yang saya sendiri tandingi," katanya yang bakal berdepan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen yang mewakili DAP.

Pada pilihan raya negeri 2016, BN meletakkan calon langsung di kerusi Dudong dan Mambong yang menjadi rebutan SUPP dan parti serpihannya ketika itu, Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Pemenang kerusi Dudong pada PRN itu, Tiong Thai King kemudiannya menyertai parti pembangkang tempatan, Parti Sarawak Bersatu (PSB).

PSB ditubuhkan bekas Presiden UPP yang juga bekas pemimpin kanan SUPP sebelumnya, Wong Soon Koh.

Bagi kerusi Mambong pula, penyandangnya Dr Jerip menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) selepas keluar dari PSB pada Oktober 2019.