Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Himpunan bantah harga barang naik batal, polis kawal kawasan Sogo

Polis meningkatkan kawalan dan mengepung sebahagian besar kawasan di hadapan pusat beli-belah Sogo di tengah ibu kota menjelang perhimpunan memprotes kenaikan harga barang petang tadi.

Bantahan itu dianjurkan sebuah gerakan yang digelar Rakyat Tuntut Tiga.

Menerusi hantaran di media sosial, penganjur terbabit berkata perhimpunan berkenaan dibatalkan berikutan nasihat Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

"Tidak akan ada perhimpunan fizikal di Sogo kerana kami menghormati undang-undang," kata penganjur perhimpunan pada awal hari ini.

Bagaimanapun, kumpulan itu dilihat hadir di depan pusat beli-belah itu dengan menaiki empat kenderaan bersama sepanduk tertera perkataan "Rakyat Tuntut Tiga".

Kumpulan itu memulakan konvoi mereka dari pusat beli-belah Pavilion di Bukit Bintang setelah berkumpul kira-kira jam 5.30 petang.

Lebih 20 pegawai dan anggota polis tidak beruniform dikerahkan berkawal di pusat komersial berkenaan.

Perhimpunan itu diadakan bagi menggesa harga pelbagai barangan keperluan orang ramai dikawal dan diturunkan, undang-undang dikuatkuasakan dan kewujudan kartel serta amalan rasuah dihapuskan.

Walaupun Kuala Lumpur kini berada di bawah Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional, perhimpunan besar-besaran atau bantahan massa masih dilarang.

Ketika ditemui di kawasan tempat letak kereta berhampiran Sogo, ketua gerakan Rakyat Tuntut Tiga, Tun Fiqa Mohammad, menafikan mereka mahu mengadakan himpunan membantah kenaikan harga barang.

"Ia bukan protes mahupun perhimpunan, ia adalah acara pandu lalu," katanya kepada media.

Mengakui dia merupakan Ketua Biro Kepenggunaan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Fiqa berkata pihaknya tidak ada kena-mengena dengan pergerakan itu dan acara pandu lalu.

Seorang lagi peserta, Najihah yang berada di tempat itu, berkata dia adalah naib ketua sayap puteri parti Amanah.

Katanya gerakan Rakyat Tuntut Tiga ditubuhkan oleh aktivis wanita yang berfikiran sama yang menyatakan kebimbangan mereka terhadap isu kepentingan awam.

"Saya mendengar orang berkata mereka tidak tahu apa yang perlu dibeli (kerana kenaikan harga makanan). Kami akan terus menggerakkan lebih banyak acara sehingga harga barang-barang turun," katanya.