Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KPDNHEP Johor keluar 83 notis terhadap peniaga sayur

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengeluarkan 83 notis kepada peniaga sayur di negeri ini susulan kenaikan harga jualan seperti tomato, lobak, kubis bulat dan cili merah dari awal tahun ini sehingga semalam.

Pengarahnya Mohd Hairul Anuar Bohro berkata notis berkenaan dikeluarkan bagi menyiasat kenaikan harga yang berlaku serta mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

Beliau berkata jumlah tersebut termasuk notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang dikeluarkan terhadap 21 peruncit, 11 pemborong dan tiga pekebun atau peladang kerana menjual sayur pada harga lebih tinggi, menerusi pemeriksaan yang dilakukan bermula 20 Nov lepas.

“KPDNHEP Johor mengambil serius isu kenaikan harga serta kedudukan bekalan keperluan harian. Susulan itu, pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan oleh anggota penguatkuasa giat dijalankan di seluruh negeri bagi memastikan tiada peniaga cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

Seramai 200 anggota penguat kuasa Johor diarah menjalankan pemeriksaan serta pemantauan di setiap peringkat pembekalan barangan yang terdiri daripada peruncit (pasar basah, pasar awam, pasar raya) dan pembekal (pemborong, peladang, pengeluar, pengimport) ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata satu Ops Pasar dilakukan hari ini melibatkan 10 anggota penguatkuasa Johor Bahru dengan menyasarkan peniaga sayur di peringkat pemborong dan pengeluar serta pekebun sayur di sekitar Taman Ungku Tun Aminah dan Ulu Tiram, susulan aduan kenaikan harga sayur antara 50 hingga 100 peratus.

Menurutnya, Ops Pasar berkenaan bertujuan memantau kenaikan harga barangan keperluan utama seperti sayur-sayuran, ikan, daging dan ayam di peringkat pembekalan dengan pemeriksaan dilakukan ke atas harga dan kos barangan di setiap rantaian perniagaan.

- Bernama