Usaha selamatkan harimau Malaya antara pencapaian 100 hari KeTSA
Kempen Selamatkan Harimau Malaya adalah satu daripada pencapaian 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).
Menterinya, Takiyuddin Hassan, berkata menerusi pencapaian tersebut, memorandum persefahaman ditandatangani di antara kementeriannya dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.
Katanya memorandum itu bertujuan memastikan Harimau Malaya - yang menjadi simbol jata negara dan sinonim dengan pasukan kebangsaan itu - tidak pupus daripada habitatnya.
"Hasrat utama untuk memeterai memorandum persefahaman antara KeTSA dengan FAM bertujuan mengukuhkan usaha konservasi harimau Malaya melalui kempen Selamatkan Harimau Malaya," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum itu di Wisma FAM hari ini.
Pada majlis itu, Takiyuddin dan Presiden FAM Hamidin Mohd Amin menyaksikan memorandum ditandatangani di antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia dengan FAM.
Sementara itu, Hamidin dalam ucapannya berkata kerjasama strategik yang ditandatangani hari ini akan menggiatkan usaha menyelamatkan spesies harimau Malaya yang kian pupus.
"Harimau Malaya menjadi simbol pada jata negara yang melambangkan keberanian, kegagahan dan kekuatan. Dalam bola sepak pula ia gelaran bagi skuad kebangsaan.
"Maka kita tidak mahu simbol kegagahan dan sumber inspirasi pasukan kebangsaan lenyap ditelan waktu,” katanya.
Hamidin berkata menerusi komitmen yang dimeterai hari ini, kesedaran semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dalam konservasi mergastua dapat ditingkatkan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai