Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PAC diberitahu Muhyiddin 'tersilap cakap' tentang harga vaksin

PARLIMEN | Muhyiddin Yassin tersilap cakap berkenaan peruntukan untuk vaksinasi Covid-19 ketika dia menjadi perdana menteri, menurut keterangan yang diberikan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Menurut Hansard pada 5 Januari 2021, perkara ini didedahkan ketika Khairy Jamaluddin - ketika itu sebagai menteri sains, teknologi dan inovasi - memberi keterangan berkenaan perbelanjaan kerajaan untuk vaksin kepada PAC.

Pada November tahun lalu, Muhyiddin berkata kerajaan membelanjakan RM3 bilion untuk mendapatkan vaksin bagi 6.4 juta penduduk Malaysia - iaitu sebanyak RM469.75 bagi setiap penerima.

Pentadbiran Muhyiddin kemudian menguatkuasakan darurat dua bulan kemudian. Ketika itu, kerajaan antara lain menggunakan RM5 bilion dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk program vaksinasi.

Dengan proklamasi darurat, kerajaan boleh mengambil langkah itu tanpa memerlukan kelulusan di Parlimen.


PANDUANKINI: Perihal Kumpulan Wang Amanah Negara


Keterangan Khairy kepada PAC mendedahkan yang harga "RM468.75 bagi setiap penerima" adalah tidak benar.

Sebaliknya, dia menjelaskan dengan matlamat berubah kepada memberi vaksin kepada 82.8 penduduk, kos pemerolehan vaksin adalah RM2.05 bilion atau RM77.35 bagi setiap penerima.

"Belgium (belanja) RM1.38 bilion untuk 16.75 juta (penduduk) iaitu RM82.40 setiap seorang. Jadi, kita lebih murah," kata Khairy.

Belgium dijadikan contoh ketika pendengaran kerana seorang menteri negara itu harga vaksin Covid-19 untuk Kesatuan Eropah (EU) sebulan sebelumnya. Ia memberi sedikit maklumat berkenaan kos vaksin yang tertakluk dengan perjanjian tanpa pendedahan (NDA).

Khairy: Saya periksa dengan Pejabat Perdana Menteri (pada masa itu). Dia tersilap cakap.

Wong Kah Woh (pengerusi PAC): Okey. Ini akan jadikan hal ini lebih jelas, kerana pengiraan mudah tunjukkan RM468...

Khairy: Ya, saya faham. Dia tersilap cakap (misspoke). Dalam konteks ini (pemerolehan vaksin) dan dalam konteks ini sahaja, kenyataan menteri sains, teknologi dan inovasi adalah kenyataan yang sahih berbanding perdana menteri. Ini sahaja.

Khairy Jamaluddin

Harga vaksin

Menurut kenyataan dikeluarkan PAC semalam, jawatankuasa itu secara umumnya berpuas hati yang pemerolehan vaksin mengikut prosedur Kementerain Kewangan.

Namun, PAC tidak berpuas hati kerajaan membayar premium kira-kira 16.78 peratus ke 18.12 peratus untuk mempercepat penghantaran vaksin Sinovac.

"Kami berpendirian yang kerajaan perlu bertegas yang harga vaksin kekal sama seperti dalam perjanjian," kata PAC.

Kerajaan mendapatkan 14.4 juta dos vaksin Sinovac dalam empat peringkat - pada Mac, Mei (dua kali) dan Julai.

Walaupun sebahagian daripada Hansard dipadam kerana NDA, jelas bahawa harga untuk setiap peringkat berbeza.

Wong Shu Qi

Wong Shu Qi (PH-Kluang): Yang berhormat menteri, untuk Sinovac ini, agaknya berapa kos tambahan untuk terus pesan finished product?

Khairy: Itulah yang saya jelaskan tadi (maklumat dipadam kerana NDA) dan naik sehingga (dipadam). Ada premium yang kita perlu bayar untuk percepat program vaksinasi.

Saya telah jelaskan kepada jemaah menteri, kalau hendak percepat program ini...kita perlu bayar premium dan ia dipersetujui kabinet. Kita mahu percepatkan. Kalau tidak, kita terpaksa tunggu sampai Oktober.

Bekalan vaksin Pharmaniaga

Khairy juga setuju dengan cadangan PAC yang Pharmaniaga, yang bertanggungjawab membekalkan vaksin Sinovac siap dibotolkan, berdepan penangguhan penghantaran untuk April hingga Jun.

Menurut Khairy, kerajaan melantik Pharmaniaga sebagai pembekal Sinovac kerana ia sepatutnya menjadikannya lebih murah kerana syarikat itu dapat mengendalikan pembotolan vaksin di Malaysia, berbanding proses itu dilakukan di China.

Pharmaniaga adalah syarikat berkaitan kerajaan. Pemegang saham majoritinya adalah Boustead Holdings Bhd dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Sebaik syarikat itu menunaikan tanggungjawab kontraknya kepada kerajaan, ia dibenarkan menjual vaksin Sinovac di pasaran. PAC menyimpulkan ia dijual dengan harga yang tinggi.

Ketika pendengaran PAC pada 27 Julai, Khairy berkata Pharmaniaga mencadangkan harga runcit RM130 bagi setiap dos bermula 1 Ogos.

Ketika laporan ini ditulis, kerajaan masih belum menetapkan harga siling bagi vaksin Covid-19 di pasaran.

Wong Kah Woh

Selepas mengetahui harga yang dibayar kerajaan untuk setiap dos vaksin (yang tidak boleh dinyatakan di sini), Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata cadangan harga runcit itu adalah tinggi.

Khairy juga setuju dengan kenyataan tersebut.

Wong: Ini khidmat untuk negara (national service). Saya rasa untuk Pharmaniaga sekali pun, (harga runcit) RM260 adalah terlalu tinggi.

Khairy: Pandangan saya sekarang, ia tinggi. Kita perlu nilai semula (harga) di Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dan memahami kos input untuk Pharmaniaga, yang merangkumi logistik, penghantaran dan lain-lain.

PAC adalah jawatankuasa rentas parti yang meneliti perbelanjaan kerajaan. Ia boleh memanggil saksi, termasuk pegawai tinggi kerajaan, untuk memberi keterangan.

Walaupun pendengaran dibuat secara tertutup, hansard dikepilkan dalam laporannya yang kemudian dibentang di Dewan Rakyat.

Berikut adalah laporan PAC bertajuk Perolehan Vaksin COVID-19 dan Penggunaannya Terhadap Rakyat Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.