Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Shahidan ketepikan soalan garis panduan jualan minuman keras

PARLIMEN | Shahidan Kassim hari ini mengelak daripada menjawab soalan dikemukakan ahli parlimen pembangkang mengenai kemungkinan Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengeluarkan garis panduan penjualan minuman keras.

Sebaliknya Shahidan menjelaskan bagaimana kementerian sudah mengadakan perbincangan serta sesi libat urus dengan pelbagai pihak sebelum memutuskan langkah mengehadkan penjualan bahan tersebut.

Tambah menteri Wilayah Persekutuan itu pihak yang gagal dalam permohonan untuk mendapatkan lesen jualan minuman keras boleh membuat rayuan.

Bagaimanapun jawapan tersebut tidak memuaskan hati Teresa Kok (PH-Seputeh) yang bertanya sama ada kerajaan - melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) - akan mengeluarkan garis panduan secara hitam putih mengenai penjualan minuman keras.

"Itu tidak menjawab soalan saya... adakah garis panduan akan dikeluarkan (oleh DBKL)?" tanya Kok.

Tambahnya apa yang dijelaskan Shahidan tidak dikeluarkan sebagai garis panduan yang rasmi oleh DBKL selaku pihak berkuasa tempatan.

Sebagai maklum balas, Shahidan sekali lagi menegaskan bahawa kata sepakat sudah dicapai pada sesi libat urus lalu dengan semua pihak berkepentingan sebelum ini.

Katanya pihak terbabit memahami larangan berkenaan bertujuan untuk membanteras penjualan minuman keras tanpa lesen.

“Semua orang sudah faham isu ini. Cuma YB saja yang masih tidak faham,” sindirnya.

[Baca berita asal]