Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Majoriti warga WP sokong saya beri cuti umum'

PARLIMEN | Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim mempertahankan tindakan kerajaan mengumumkan esok sebagai cuti umum dengan mendakwa tindakannya itu mendapat sokongan ramai.

Kata Shahidan sokongan yang diterimanya itu boleh dilihat pada komen-komen yang ditinggalkan orang ramai di Facebook.

"Kalau saya pergi ke Facebook sekarang, majoriti warga Wilayah Persekutuan akan menyokong saya berhubung cuti yang diberikan.

"Semua ahli parlimen pun seronok, Shah Alam (PH-Shah Alam) pun seronok," katanya semasa berucap menggulung perbahasan Belanjawan 2022 bagi kementeriannnya di peringkat jawatankuasa hari ini.

Semalam Shahidan mengumumkan seluruh Wilayah Persekutuan akan bercuti pada 3 Dis sempena kejayaan skuad KL City FC menjulang Piala Malaysia selepas menunggu selama 32 tahun.

Dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin, KL City FC membenam skuad JDT 2-0 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-100. 

Bagaimanapun ada pihak berpendapat tindakan tersebut adalah tidak perlu dan mengganggu operasi pelbagai sektor khususnya ekonomi.

Di sebalik pengumuman ahli parlimen Arau tersebut, Bank Negara Malaysia dan semua bank dan cawangan masing-masing di Kuala Lumpur akan tetap beroperasi seperti biasa esok. 

Ahli Jawatankuasa Majlis Sains, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Prof Dr Adeeba Kamarulzaman turut menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan cuti mengejut tersebut kerana ia mengganggu perjalanan jadual peperiksaan perubatan profesional yang disusun lebih awal.

“Ia menyebabkan peperiksaan profesional pakar kami, klinik dan jadual bilik pembedahan semuanya menjadi huru-hara.

"Kami benar-benar tidak memerlukan ini, terutamanya bukan pada masa kami mempunyai begitu banyak perkara yang perlu dilakukan akibat Covid-19," katanya. 

Teresa Kok (PH-Seputeh) semasa membahaskan belanjawan tersebut hari ini juga berpendapat sebelum kerajaan mengambil keputusan memberikan cuti umum esok, perlu lebih banyak penelitian dibuat kerana ia memberi kesan kepada banyak pihak.

Malahan, kata Kok, tidak semua orang memerlukan cuti sebegitu kerana pelbagai perancangan awal sudah dibuat.

Shahidan berkata kemenangan skuad bergelar The City Boys itu amat bermakna lebih-lebih lagi apabila ia dicatatkan di Kuala Lumpur sendiri dan semua pihak wajar memahami betapa bermaknanya kemenangan skuad berkenaan.

Justeru katanya cuti berkenaan juga adalah salah satu cara untuk kerajaan menyatakan kesyukuran kepada Tuhan.

"Kita tak bagi cuti serta-merta (seperti) yang sering dibuat oleh negeri-negeri lain selepas mereka menang Piala Malaysia, tapi kita bagi tempoh," katanya.