Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PKR S'wak mungkin kurangkan calon demi cerahkan peluang pembangkang

PRN SARAWAK | PKR mungkin akan mempertaruhkan jumlah calon yang lebih rendah berbanding apa yang diumumkan kepimpinan negeri sebelum ini.

Berdasarkan persefahaman dalam kalangan parti Pakatan Harapan (PH) Sarawak pada Jan lalu, PKR bercadang meletakkan calon di 47 kerusi. Bagaimanapun Malaysiakini difahamkan ketika ini jumlah itu menurun kepada kira-kira 20 orang saja.

Secara keseluruhan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mempunyai 82 kerusi.

Ketika dihubungi Timbalan Pengerusi PKR Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata mereka mempertimbangkan pilihan untuk mengurangkan jumlah calon bagi meningkatkan peluang pembangkang mengalahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya PRN kali ini berbeza daripada apa yang berlaku sebelumnya kerana terdapat lebih banyak parti pembangkang dengan sesetengahnya berpengaruh besar di kawasan tertentu.

"Jika ada banyak calon (di kawasan tersebut) ia akan mengurangkan peluang pembangkang untuk menang," katanya.

Ditanya jika PKR Sarawak terlibat dengan sebarang kerjasama dengan parti PH di luar Sarawak, Abang Zulkifli, menafikannya.

"Kerjasama kami cuma dengan PH," katanya.

Calon berintegriti, berkaliber

Untuk rekod selain PH ada dua parti yang sudah mengumumkan untuk meletakkan calon dalam PRN dijadual diadakan pada 18 Dis ini ialah Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK).

PSB akan menurunkan enam calon mereka bagi mempertahankan kerusi masing-masing selain beberapa muka baru dan tokoh veteran parti itu. PBK adalah parti yang agak baru diketuai oleh bekas ahli parlimen Voon Lee Shan dan aktivis veteran Priscilla Lau.

Seorang lagi Timbalan Pengerusi PKR Sarawak, Dr Michael Teo, memberitahu Malaysiakini, parti itu memutuskan untuk mengurangkan jumlah calon "sedikit" dan situasi itu akan menjadi lebih jelas beberapa hari mendatang.

Pengarah Pilihan Raya PKR Sarawak, Dominique Ng, pula menyatakan mereka memberi pertimbangan kepada langkah tersebut kerana bersikap realistik. Bagaimanapun dia enggan memberikan komen lanjut.

Tidak seperti parti pembangkang lain, PKR Sarawak setakat ini belum mendedahkan senarai calon masing-masing.

Abang Zulkifli Abang Engkeh

Menurut Abang Zulkifli dan Teo, pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.

Presiden PKR Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan ke Sibu, Miri dan Kuching esok dan dijangka akan berucap kepada pemimpin parti terbabit menjelang hari penamaan calon pada 6 Dis ini.

Semasa PRN Sarawak yang diadakan pada 2006, 2011 dan 2016 PKR menurunkan masing-masing 25, 40 dan 49 calon. Pun begitu prestasi terbaik parti itu dicapai pada 2011 dan 2016 apabila sebanyak tiga daripada mereka muncul sebagai pemenang.

Pada tahun lalu pula PKR Sarawak mengalami tamparan hebat selepas semua tiga Adunnya berpaling tadah dengan dua menyertai PSB manakala seorang lagi menjadi ahli Bersatu.

Ketika ini juga PKR Sarawak tidak memiliki pengerusi negeri yang rasmi.

Menurut Abang Zulkifli PKR Sarawak akan menurunkan calon yang berkaliber dan berintegriti sesuai dengan tema kempen mereka, "Kemakmuran bersama keadilan".

Tumpuan utama kempen itu katanya ialah mengenai pentingnya kekayaan negeri diagihkan secara saksama, gesaan antirasuah, keutamaan kestabilan dan isu-isu kegagalan kerajaan BN/GPS.

"Kami menggesa rakyat Sarawak untuk mempertimbangkan tawaran kami untuk perubahan dan transformasi," katanya.