Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Video dakwa kerajaan tak bertanggungjawab itu dimanipulasi - PM

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini menafikan kerajaan tidak bertanggungjawab dalam menangani isu kenaikan harga barangan.

Sebaliknya kata Ismail Sabri kerajaan sentiasa mengambil tanggungjawab memastikan tindakan yang sewajarnya dilakukan supaya rakyat tidak dibebankan.

Dia berkata demikian susulan video sepanjang 15 saat yang ditularkan di media sosial sejak beberapa hari lalu memaparkan petikan ucapanya dalam satu majlis makan malam dengan mendakwa kerajaan pimpinannya tidak bertanggungjawab terhadap kenaikan harga barangan.

“Disebar mengatakan kerajaan tidak mahu jawab apa masalah petani itu, itu tidak betul. Video itu diedit (potong) untuk tujuan manipulasi.

“Kerajaan tidak akan berlepas tangan dengan mengatakan bahawa ini adalah luar kawalan,” katanya menerusi catatan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Perdana Menteri berkata seperti diumumkan pada majlis makan malam Persatuan Peladang Kebangsaan (Nafas) 25 Nov lalu, kerajaan memperuntukkan RM262 juta untuk membantu golongan peladang iaitu RM62 juta untuk insentif racun dan pinjaman mudah sebanyak RM200 juta tanpa faedah dan moratorium selama enam bulan.

“Kalau dulu petani diberi RM200 sebagai insentif, sekarang ini kerajaan tambah RM100 lagi menjadi RM300,” katanya.

Justeru, menurut Ismail Sabri, alasan harga perlu dinaikkan kerana kos pengeluaran meningkat disebabkan harga racun tinggi tidak boleh lagi digunakan.

- Bernama