Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Peguam wanita tak pernah adu gangguan seksual semasa di firma'

NOTA EDITOR: Malaysiakini tidak mendedahkan nama pihak-pihak yang terlibat dalam saman ini bagi melindungi identiti plaintif seperti yang dimohon.

Seorang peguam wanita tidak pernah membangkitkan sebarang aduan mengenai gangguan seksual semasa berada di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur, seperti yang didakwa dalam pemfailan mahkamah.

Menerusi pernyataan pembelaan terhadap saman wanita berusia 27 tahun itu, firma itu mendakwa dia tidak pernah membuat sebarang aduan mengenai gangguan yang dikatakan dibuat rakan kongsi kanan firma yang berusia 44 tahun, antara Dis 2018 dan 15 Dis 2019.

Dalam pemfailan mahkamah yang dilihat oleh Malaysiakini, firma itu mendakwa selepas meninggalkan firma tersebut, peguam wanita itu masih mengekalkan hubungan yang ramah dengan pengajarnya (pupil master) yang merupakan rakan kongsi kanan firma itu (bukan individu yang sama).

Firma itu mendakwa selepas peletakan jawatannya, dia menyatakan "minat yang mendalam" untuk kekal bersama firma itu apabila dia didakwa mengetahui terdapat kekosongan jawatan sebagai seorang 'associate'. Bagaimanapun firma itu mendakwa ia tidak dapat menawarkan kekosongan tersebut kerana ia telah diisi.

"Sepanjang masa beliau di firma, plaintif tidak pernah mengemukakan apa-apa aduan yang berkaitan dengan dakwaan-dakwaan yang beliau kini bangkitkan dalam pernyataan tuntutan. Selepas plaintif meninggalkan firma, beliau masih mengekalkan hubungan yang ramah dengan pengajarnya.

"Beliau juga telah memaklumkan pengajarnya tarikh penerimaan masuk beliau supaya pengajar dapat menghadiri dan menyarungkan jubah beliau.

"Bicara penerimaan masuk plaintif dijalankan pada 14 Feb 2020, dua bulan selepas beliau meninggalkan firma. Dalam ucapan plaintif yang diberikan bagi pihaknya oleh mover beliau, plaintif secara khusus telah merakamkan ucapan terima kasih kepada firma dan pengajarnya atas pengalaman, peluang dan bimbingan yang diberikan kepada beliau.

"Firma juga tidak pernah dimaklumkan oleh plaintif sepanjang masanya dengan firma, tentang persekitaran kerja yang kononnya tidak selamat (unsafe), bermusuhan (hostile) dan tidak selesa (uncomfortable) yang beliau kononnya terpaksa menahan sepertimana beliau dakwa dalam pernyataan tuntutan.

"Plaintif mempunyai setiap peluang untuk melaporkan persekitaran kerja yang kononnya tidak selamat, bermusuhan dan tidak selesa kepada firma, pengajar beliau, mana-mana rakan kongsi atau bahagian Sumber Manusia firma.

"Terdapat prosedur yang mencukupi dan betul di firma untuk plaintif mengadu sekirannya beliau benar-benar mengalami suatu persekitaran kerja yang tidak selamat (unsafe), bermusuhan (hostile) dan tidak selesa (uncomfortable). Firma akan mengambi tindakan ke atas aduannya sekiranya beliau berbuat demikian," jelasnya.

Di Malaysia dalam tempoh 9 bulan seorang pelatih menjalani latihan dalam kamar dengan sesbuah firma guaman, pelatih tersebut akan diletakkan di bawah kendalian peguam kanan yang dikenali sebagai pengajar (pupil master).

Semasa diraikan oleh Majlis Peguam selepas tempoh latihan dalam kamar selesai, adalah menjadi tradisi untuk pengajar memakaikan jubah hitam kepada pelatih bagi menandakan penyertaannya dalam bidang guaman.

Pada 24 Nov, Malaysiakini melaporkan peguam wanita itu menyaman firma itu dan juga seorang peguam berusia 44 tahun, yang merupakan rakan kongsi kanan firma berkenaan atas tuduhan gangguang seksual.

Rakan kongsi kanan dan firma itu dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua dalam saman tersebut.

[Baca berita penuh]