Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

‘Tak perlu tunggu musim raya untuk kawal harga barang’

Kerajaan disaran terus menguatkuasakan secara menyeluruh peruntukan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengelakkan manipulasi harga barang.

Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia Shahir Adnan berkata penguatkuasaan dapat memastikan kenaikan harga barangan disebabkan ketidakcukupan atau ketiadaan barangan dalam pasaran ditangani.

Akta itu memperuntukkan kuasa kepada pihak berkuasa menyekat kegiatan menyorok atau enggan menjual barangan kawalan.

Shahir Adnan

“Akta tersebut memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengawal dan mencatu bekalan barang-barang apabila keadaan memerlukan.

“Harga sayuran-sayuran dikawal waktu musim perayaan sahaja. Patut kuatkuasakan waktu sekarang juga kerana harga dah naik mendadak.

“Tak perlu tunggu musim perayaan sahaja,” katanya menjawab soalan Malaysiakini.

Simpanan stok

Dalam kenyataan hari ini, Pemuda Ikatan juga berkata kerajaan perlu mencari jalan untuk mewujudkan simpanan stok (stockpile) barangan mentah dan ladang-ladang ternakan secara tersusun.

Shahir berkata, ia bagi meningkatkan penghasilan produk makanan tanpa terlalu bergantung kepada barangan import.

“Kerajaan perlu bertindak pantas di saat dunia kini berdepan varian Omicron yang lebih dahsyat.

“Jangan biarkan rakyat kita dihimpit kesengsaraan ekonomi, ditambah pula dengan kegusaran Omicron yang kian mengganas,” katanya.